Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang pensyarah Matematik dari universiti swasta di Alor Gajah menggunakan teknologi hijau yang mampu menjana pendapatan dalam menghasilkan beg dan bereksperimentasi dengan kaedah pencelupan semula jadi untuk pakaian.

Mohd Nasir Mahmud, 53, berkata dengan menggunakan pencelupan semula jadi terhadap fabrik biodegradasi seperti kapas, linen dan bulu, ia akan membantu mendidik orang ramai untuk menghargai sumber asli sekali gus mengubah untuk kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

"Saya telah menghasilkan dan menjual hampir 2,000 beg seperti beg tote hibrid dan beg sandang yang diperbuat daripada kapas, denim dan kanvas dengan menggunakan konsep 3R (kitar semula, guna semula, mengurangkan) sejak berusia pertengahan 30-an.

"Menerusi perniagaan ini, saya menggalakkan pelanggan khususnya orang muda untuk berfikir akan alam semula jadi dan katakan tidak kepada beg polimer," kata bapa kepada tujuh orang anak ketika ditemui dalam satu majlis di Alor Gajah hari ini.

Mohd Nasir berkata beliau kini sedang bereksperimentasi menggunakan pencelupan semula jadi pada baju Melayu sejak tahun lepas daripada ekstrak kulit bawang yang menghasilkan warna kuning keemasan yang cantik.

Beliau yang belajar menjahit daripada arwah ibunya, Kamsiah Baba dan tidak pernah mengikuti sebarang kelas jahitan formal berkata semua orang perlu memainkan peranan penting dalam menjadikan teknologi hijau sebagai sebahagian daripada budaya yang mampu menjana pendapatan.

Eksperimen beliau seterusnya ialah menggunakan daun kari bagi mendapatkan warna kuning dan warna coklat daripada kulit pokok kelat paya untuk digunakan pada bahan kapas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS