Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid ajak Husni sertai gerakan 'Selamatkan Malaysia'
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 12:56 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim menjemput bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah menyertai gerakan Selamatkan Malaysia anjuran Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Husni adalah seorang lelaki yang baik dan orang yang baik tidak boleh tinggal di di limbah yang lama.

"Saya menggesa Husni datang menyertai gerakan Selamatkan Malaysia. Dia tahu cukup untuk melakukan sesuatu untuk negara," tulis Zaid di twitternya hari ini.

Husni meletakkan jawatan daripada kabinet dan melepaskan semua jawatan dalam Umno dan BN, termasuk sebagai bendahari Umno.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang mengumumkan hasrat Husni untuk bersara sebagai menteri kewangan kedua berkata keputusan itu dibuat atas sebab-sebab peribadi.

Spekulasi bertiup kencang bahawa tindakan ahli parlimen Tambun itu berpunca daripada skandal 1MDB.

Zaid berkata beliau percaya Husni kini memahami kesukaran dihadapi beliau pada tahun 2008, apabila meletakkan jawatan dalam kerajaan.

"Apabila saya meletakkan jawatan, Husni berkata, saya sepatutnya mempunyai kesabaran dan kerja dari dalam. Sekarang dia mungkin memahami sesuatu perkara lebih baik," katanya.

Zaid meletak jawatan daripada kabinet perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi pada September 2008, sebagai protes terhadap penahanan sewenang-wenangnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Gerakan Selamatkan Malaysia yang diterajui oleh Mahathir, bertujuan untuk menjatuhkan Najib dan melaksanakan pembaharuan institusi.

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam skandal 1MDB, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada salah laku jenayah dalam kes-kes yang berkaitan dengan firma pelaburan negara itu.

Lihat Komen
ADS