Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Siapa lebih bahaya, mufti Pahang atau IS?
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 2:01 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Bidasan terhadap mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman berterusan hari ini, dengan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada beliau lebih berbahaya berbanding anggota militan Negara Islam (IS) Mohd Rafi Udin.

Katanya, walaupun Rafi tampil dalam video IS dengan ugutan untuk menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dan menggesa penyokongnya untuk membunuh golongan bukan Islam, namun, Abdul Rahman adalah ancaman lebih besar kerana melabel DAP sebagai kafir harbi.

Istilah ini merujuk kepada orang bukan Islam yang memerangi Islam, dan darah mereka halal untuk ditumpahkan.

"Saya rasa dia (Abdul Rahman) adalah ancaman lebih besar kepada integriti dan kejayaan proses pembinaan negara Malaysia daripada Rafi.

"Terdapat polis cawangan khas bahagian anti pengganas di Bukit Aman yang bertanggungjawab memerangi keganasan dan bersedia untuk sebarang ancaman IS.

"Tetapi Malaysia seolah-olah tidak bermaya menanagani pegawai agama berfikiran IS yang doktrinnya tidak berbeza dengan kumpulan militan itu," kata Lim.

Menurutnya, kenyataan mufti Pahang itu adalah "serangan paling serius dan berbahaya ke atas asas perlembagaan Malaysia dan proses pembinaan negara ini".

Katanya, menteri kabinet perlu menangani isu ini, pada mesyuarat mingguan esok, jika tidak, mereka akan mengabaikan tugas dan tanggungjawab mereka.

Abdul Rahman dilaporkan dalam Utusan Malaysia pada Jumaat lalu menuduh DAP sebagai kafir harbi kerana menentang langkah PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan melalui pembentangan rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun beliau, kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataannya itu tidak hanya ditujukan kepada DAP tetapi semua yang menentang undang-undang Islam itu.

Sebagai tindak balas kepada bidasan itu, Abdul Rahman semalam mempertahankan kenyataannya dan enggan memohon maaf.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS