Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Tambun mahu Husni perjelas kenapa letak jawatan
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 2:53 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Umno Bahagian Tambun menghormati keputusan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meletak semua jawatannya dalam parti dan Barisan Nasional (BN) termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Tambun dan Bendahari Agung BN.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata bagaimanapun, bahagian itu berharap Ahmad Husni, yang turut melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua, dapat tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung peletakan jawatan Ahmad Husni sebaliknya memberi beliau masa untuk menjelaskannya.

"Saya perlu bertemu sendiri dengan Datuk Seri (Ahmad Husni) kerana setakat ini, apa yang saya peroleh sama seperti yang Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin maklumkan.

"Apa juga keputusan beliau, kita hormati tapi dalam masa sama, berharap dia akan terus bersama kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Umno Bahagian Tambun, malam tadi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan rombakan Kabinet memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi.

Menerusi Shamsul Zairil yang juga setiausaha politiknya, Ahmad Husni turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari Umno dan Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Perak Datuk Rusnah Kassim pula terkejut dengan tindakan Ahmad Husni meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua dan semua jawatannya dalam parti.

Rusnah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri menganggap tanpa adanya Ahmad Husni, ia suatu kehilangan besar buat parti.

"Keputusan Ahmad Husni (meletakkan jawatan) adalah sesuatu yang memeranjatkan memandangkan beliau pemimpin yang kuat bekerja dan tidak pernah kenal erti penat. Secara peribadinya, saya berpendapat ia suatu kehilangan besar.

"Saya juga amat terkejut, saya tidak menyangka beliau melepaskan kesemua jawatannya dalam parti," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim Perak di Ipoh, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 22 wakil rumah anak yatim di seluruh negeri menerima sumbangan bernilai RM68,700 daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Rusnah yakin Ahmad Husni tidak akan melepaskan jawatannya tanpa membuat sebarang persediaan untuk melatih pelapisnya.

"Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, saya berkesempatan berbual dengannya...beliau ada menyatakan kalau dapat jawatan, beliau akan pasti buat yang terbaik dan lepas itu, latih pelapis-pelapisnya.

"Beliau seorang yang menunaikan janjinya dan saya yakin beliau akan memastikan anggota-anggota jawatankuasanya diberikan didikan baik," katanya yang bertemu Ahmad Husni pada mesyuarat Umno negeri beberapa bulan lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS