Polis ulangi letupan bukan serangan pengganas
Polis menegaskan bahawa serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong Jaya, malam Isnin lalu bukan dilakukan oleh pengganas, tetapi adalah angkara dendam kumpulan samseng.
"200 meter daripada situ ada sebuah lagi bar yang mempunyai jumlah pelanggan lebih ramai daripada itu. Bar bersebelahan ada 80 hingga 90 orang.
“Kalau (militan) IS (Negara Iskam) nak jadikan sasaran mesti dia sasar bar yang mempunyai ramai orang daripada jumlah orang yang sikit,” kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Lebih 20 orang sedang menonton perlawanan bolasepak Piala Euro 2016 antara Sepanyol menentang Itali di kelab Movida apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke premis itu sekitar jam 2.15 pagi.
Serangan itu menyebabkan lapan orang cedera, seorang daripada mereka parah.
Abdul Rahim berkata, kejadian itu adalah kes jenayah sambil merujuk beberapa kejadian yang hampir sama pada masa lalu.
Pada bulan Oktober 2014, sebuah kelab di Bukit Bintang diletupkan dalam cubaan pembunuhan terhadap seorang raja judi yang gagal.
Dua lelaki melemparkan bom di tempat letak kereta kelab itu ketika raja judi berkenaan sedang beredar dan letupan itu menyebabkan seorang joki kereta terbunuh manakala 13 yang lain termasuk pengawal peribadi dan pemandu cedera.

