Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Kerajaan akan mengekalkan rebat tarif elektrik di semenanjung dan menurunkan kadar tarif di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, perkara itu berkuatkuasa mulai 1 Julai sehingga 31 Disember 2016.

Katanya, dengan pengekalan rebat berkenaan, tiada sebarang perubahan dalam kadar tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna elektrik di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh tersebut.

"Kerajaan telah bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWj (setiap per kilowatt-jam) di Semenanjung dan penurunan kadar tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj di Sabah dan Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, rebat tarif berkenaan diberikan kepada semua kategori pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Sabah.

Bagaimanapun, katanya, pemberian rebat dikecualikan kepada pengguna domestik yang menggunakan unit elektrik 300kWj dan ke bawah sebulan memandangkan pengguna kategori tersebut tidak terlibat dengan sebarang kenaikan tarif elektrik sejak 1 Januari 2014.

Maximus juga berkata, pengekalan rebat di Semenanjung melibatkan kos sebanyak RM758.03 juta yang diperoleh menerusi semakan tarif di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Ia diperoleh semakan tarif bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2016.

Jelasnya, antara faktor penyumbang kepada pemberian rebat itu juga ialah penurunan harga gas asli cecair (LNG) dan arang batu di pasaran dunia serta peningkatan kecekapan loji janakuasa arang batu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS