Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat pelancongan murah, bacpacker perlu dapatkan lesen

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengingatkan pihak yang menawarkan khidmat pelancongan murah atau pengembara (backpacker) agar mendapatkan lesen perniagaan dengan kementerian itu.

Mas Ermieyati berkata langkah tersebut bagi mengelak sebarang kes penipuan dalam kalangan pengendali perkhidmatan tersebut yang kini menjadi trend di Malaysia.

“Kita tengok hari ini di Instagram serta laman sosial banyak iklan pelancongan murah atau ‘backpacker’ yang kita tahu tidak berlesen serta syarikat pun tak ada dan ia menjadi trend sejak kebelakangan ini dan menjadi tumpuan rakyat.

“Maklumlah benda murah dan menyeronokan mesti kita nakkan, saya pun nak,” kata Mas Ermieyati dalam sidang medianya di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Putrajaya hari ini.

Mas Ermieyati berkata pakej pelancongan murah adalah pakej yang ditawarkan dengan harga paling ekonomi manakala 'bagpacker' adalah pelancong perseorangan ataupun kumpulan kecil yang melancong secara individu.

“Untuk makluman saya nak tegaskan bahawa isu pelancongan murah atau bagpackers ini bukanlah menjadi kesalahan sekiranya dikendalikan oleh syarikat yang berlesen dengan pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, tak salah.

“Tetapi ia menjadi salah apabila pakej pelancongan murah dan bagpackers ini dibuat, dianjurkan dan ditawarkan oleh syarikat yang tidak berlesen,” tegas Mas Ermieyati.

Sementara itu mengulas perkembangan sindiket penipuan pakej Umrah, anggota parlimen Masjid Tanah itu sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa.

Jelasnya lagi, kementeriannya menerima sebanyak 62 aduan mengenai sindiket berkenaan bermula awal tahun hingga Mei 2016.

Katanya, kerjasama kementerian dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terus digiatkan untuk membanteras penipuan pakej Umrah yang berleluasa.

Lihat Komen
ADS