'Polis bimbang 20,000 orang ikut BERSIH ke SPR esok'
Pihak polis hari ini memanggil Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 berhubung penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.
Menurut Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, pihaknya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk 'berbincang' mengenai sesi penyerahan memorandum dan data pemindahan pengundi.
Maria memberitahu, pihaknya bertemu Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan selama kira-kira 15 minit. Turut hadir bersamanya ialah pegawai BERSIH Zoe Randhawa serta peguam Melissa Sasidaran.
Dalam pertemuan berkenaan, Maria memberitahu, pihak polis melahirkan kebimbangan sekiranya sesi penyerahan memorandum tersebut akan dihadiri sehingga 20,000 orang.
Katanya, pihak berkuasa itu juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang notis diberikan kepada mereka.
"Sebenarnya kita hanya nak beri memorandum, kita lakukan ini setiap masa. Sebelum ini kita beri pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Tak ada apa-apa berlaku. Sekarang, saya tak tahu kenapa.
"Saya rasa tak ada (sampai 20,000 orang). Saya rasa hanya 15 orang sahaja," katanya kepada Malaysiakini.
Esok BERSIH 2.0 akan menyerahkan memorandum data pemindahan pengundi kepada SPR di Putrajaya pada jam 10.30 pagi.
Gabungan itu telah pun memaklumkan kepada SPR berhubung perkara berkenaan dengan memberi surat bertarikh 28 Jun kepada Pengerusinya Datuk Seri Hashim Abdullah.

