Saya tidak mahu bertanding Ketua Pemuda PAS, jelas Mujahid
Exco Dewan Pemuda PAS, Mujahid Yusuf Rawa hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua Pemuda dalam muktamar parti itu di Kota Bharu Jun ini.
Exco Dewan Pemuda PAS, Mujahid Yusuf Rawa hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua Pemuda dalam muktamar parti itu di Kota Bharu Jun ini.
Katanya, tiada keperluan untuknya berbuat demikian pada masa ini kerana Ketua Pemuda sekarang, Salahuddin Ayub telah menjalankan tugasnya dengan baik dan tidak perlu diganti orang lain.
"Saya tidak berminat dengan jawatan tersebut dan tidak akan menerima pencalonan untuk menjadi Ketua Pemuda," katanya kepada malaysiakini , hari ini.
Dalam laporannya semalam, malaysiakini telah memetik anak bekas Presiden PAS itu sebagai berkata, beliau bersedia untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS jika mendapatkan pencalonan.
Beliau juga dilaporkan sebagai berkata, pertandingan dalam parti, termasuk bagi jawatan Ketua Pemuda merupakan salah satu proses yang diamalkan oleh PAS sejak sekian lama.
Muktamar di Kota Bharu
Bagaimanapun, hari ini beliau menjelaskan bahawa apa yang dimaksudnya ialah sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, ahli-ahli boleh mencalonkan sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan dalam parti itu.
PAS akan mengadakan muktamarnya di Kota Bharu mulai 1 hingga 6 Jun ini bagi memilih pucuk pimpinan baru parti bagi penggal 2005-2007.
Mesyuarat peringkat Pemuda PAS kawasan sedang berjalan sehingga akhir bulan depan.
Mengikut perlembagaan PAS, hanya Ketua Pemuda dan timbalannya yang boleh berusia lebih 40 tahun manakala pemegang jawatan-jawatan lain mesti berumur 40 tahun ke bawah.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka tidak ditentang dalam pemilihan kali sejak mengambilalih pucuk pimpinan parti dari Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2001.

