Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Portal pro-Najib: Rosmah pun sedih juga, Tun Siti
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 2:34 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Sebuah portal yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mengingatkan isteri perdana menteri keempat Tun Siti Hasmah Mohd Ali memikirkan juga kesedihan isteri pemimpin lain yang diserang suaminya.

Menurut MYKMU, ia termasuk Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang “dicaci” dan dihentam suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Selaku isteri yang setia, sudah tentulah beliau (Hasmah) berdiri teguh di belakang suaminya,” menurut portal itu.

“Namun begitu, mungkin perasaan yang serupa itulah yang sedang dirasai oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, apabila bukan saja suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, dihina, malah seluruh keluarga mereka teruk dicaci dan dihentam suami Tun Siti.”

Siti Hasmah semalam mengakui terkesan dengan apa yang dilakukan oleh Najib dan pemimpin Umno lain terhadap suaminya, terutama apabila Mahathir tidak lagi menerajui syarikat kereta negara Proton.

Beliau berkata serangan terhadap Mahathir sangat memberi kesan tetapi beliau sebagai isteri tidak akan tunduk atau membuat suaminya risau.

Beliau berkata berasa sedih, lebih-lebih lagi kerana hubungan baik keluarganya dan keluarga Najib sebelum ini.

Sementara itu, kata MYKMU lagi, banyak lagi isteri-isteri yang terkesan dengan tindakan Mahathir ketika menjadi perdana menteri 22 tahun sebelum ini.

Antara mereka, termasuk Datuk Seri Wan Azizah Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998 selepas didakwa terlibat skandal seks luar tabii.

“Di mana Tun Siti ketika mana suaminya memecat dan menahan suami Wan Azizah dulu?

“Kenapa Tun Siti tidak menenteramkan hati Wan Azizah dan anak-anak ketika Anwar dimalukan suaminya dengan kisah gelapnya dulu?” soal MYKMU.

Portal itu juga berkata, isteri bekas presiden PAS Datuk Fadhil Noor juga senasib apabila “dihina teruk” ketika Mahathir berkuasa.

“Antara yang paling teruk dihina ialah para pemimpin PAS, termasuk bekas presidennya, allahyarham Datuk Ustaz Fadzil Noor.

“Hinggakan arwah sempat mendoakan agar suami Tun Siti lambat meninggal dunia untuk melihat sendiri kesan-kesan kekejamannya? Tun Siti lupa?” soalnya lagi.

Lihat Komen
ADS