Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut sudah mendapat peguam yang akan mewakili mereka untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan rumah mereka.

Peguam tersebut ialah Shamsul Iskandar Md Akin dan Mohd Yusmadi Mohd Yusof. Mereka telah menemui penduduk setinggan tersebut petang kelmarin, untuk membincangkan perkara tersebut.

Shamsul Iskandar berkata, pihaknya akan membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu depan setelah proses mengumpulkan dokumen selesai.

"Bayaran yang kami kenakan murah dan lebih rendah daripada yang diminta oleh peguam lain. Bagaimanapun, bayaran permulaan untuk memfailkan kes tersebut adalah sekitar RM2,000.

"Bayaran ini ditanggung oleh 30 penduduk setinggan Kampung Sungai Udang dan mereka membayarnya secara ansuran bergantung kepada perkembangan kes," katanya.

DBKL dalam memberi notis mengarahkan penduduk setinggan di situ supaya berpindah selewat-lewatnya 8 Mac lalu atau rumah mereka dirobohkan bagi membolehkan projek tebatan banjir dilaksanakan di situ.

Permohonan ditolak

Bagaimanapun, penduduk enggan berbuat demikian selagi tuntutan mereka untuk mendapatkan rumah pangsa kos rendah di Taman Cuepacs yang letak bersebelahan dengan kampung mereka tidak dipenuhi.

Sebelum ini mereka telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad tetapi tidak berjaya kerana Isa menolak permohonan mereka dengan alasan Taman Cuepacs bukan milik DBKL.

Isa sebaliknya menawar penduduk terlibat berpindah ke Jinjang dan menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan kadar RM124 sebulan.

Shamsul Iskandar yang juga Naib Ketua Pemuda Keadilan, dan Mohd Yusmadi telah diminta oleh Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor untuk mengendalikan kes tersebut.

Bagi meringankan beban penduduk setinggan, Mohd Yusmaidi telah meminta mereka menubuhkan tabung bagi membiayai kos guaman tersebut.

"Kita akan mencabar arahan DBKL tersebut dan memintah mahkamah menangguhkan projek merobohkan rumah setinggan Kampung Sungai Udang," katanya selepas menemui penduduk Kampung Sungai Udang petang kelmarin.

Projek tebatan banjir

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada DBKL supaya mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah tersebut secara baik.

Shamsul Iskandar pula berkata, setinggan Kampung Sungai Udang mempunyai sebab untuk mendapatkan perintah mahkamah itu kerana surat yang dihantar oleh DBKL kepada mereka, tidak menyatakan secara konsisten mengenai projek yang akan dilaksanakan di kampung tersebut.

"Pada mulanya ia mahu dijadikan kawasan rekreasi, selepas itu untuk dijadikan kawasan pemindahan penduduk dan notis terakhir menyebut kawasan itu adalah untuk projek tebatan banjir," katanya.

Katanya, jika benar DBKL mahu memajukan kawasan penempatan penduduk tersebut mereka perlu memberikan pelan yang teliti kepada penduduk setinggan terbabit.

Bagaimanapun, menurut penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, DBKL tidak pernah memberikan mereka sebarang pelan pembangunan di situ.

Sementara itu, Mohd Yusmadi pula berkata, penduduk setinggan Kampung Sungai Udang merupakan setinggan yang diiktiraf kerana mereka mendapat bekalan air paip dan elektrik.