Lautan warna di Pulau Pinang sokong Lim
Dewan Sri Pulau Pinang penuh sesak dengan orang ramai yang memakai baju-T berwarna merah, biru, hijau dan kuning bagi menyatakan solidariti terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini.
Orang ramai bersorak kuat apabila Lim berjalan kira-kira jam 10.30 pagi bersama pemimpin Pakatan Harapan termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.
Sebelum itu, sekurang-kurangnya 3,000 berarak ke Esplanade bagi menyokong Lim, yang pada hari Khamis lalu dikenakan dua tuduhan rasuah berkaitan pembelian banglo berharga RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.
Orang ramai berkumpul jam 7.00 pagi dan berjalan sejauh 2 kilometer dengan Lim dan pemimpin HARAPAN termasuk bapanya, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.
Mereka melaungkan slogan "Hidup Guan Eng" dan "Bebas Guan Eng".
BN sebelum ini cuba mengaitkan pembelian rumah banglo berkenaan dengan jualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis.
Pertuduhan itu dibuat susulan kelulusan terhadap permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar sebidang tanah daripada status pertanian kepada perumahan.
Pemilik banglo sebelum Lim, Phang Li Koon mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat itu. Beliau juga ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menghadapi tuduhan bersubahat dengan Lim.

