Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah membuat laporan polis terhadap Umno yang didakwanya telah memainkan sentimen perkauman melalui dua badan tidak berdaftar, demi kepentingan politik parti tersebut.

Laporan tersebut yang dibuat oleh ahli exconya, Azwanddin Hamzah mendakwa Sekretariat Melayu Muda dan Prowaris digunakan oleh Umno untuk mempengaruhi orang Melayu memasuki Umno dengan menghasut bahawa mereka kini dalam keadaan kritikal akibat perpecahan sesama sendiri.

Beliau juga mendakwa dalam laporannya itu, kedua-dua badan tersebut menggunakan media Internet untuk menyampaikan maklumat yang berupa provokasi mengenai Melayu dalam bahaya dengan harapan orang Melayu kembali menyokong Umno.

"Keadaan ini menyebabkan orang Cina mendesak supaya hak keistimewaan Bumiputera digugurkan," katanya dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur petang semalam.

Dalam laporan itu, beliau turut menamakan beberapa orang yang didakwanya terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam badan-badan tersebut. Mereka ialah Pengerusi Sekretariat Melayu Muda Wan Azrain Tan Sri Wan Adnan, Pengasas Prowaris, Feriz Omar dan editor www.umno-reform.com Ghazali Mat Dom atau nama sebenarnya Anuar Mohd Nor.

Azwanddin mendakwa, Sekretariat Melayu Muda telah mengadakan seminar 'Melayu Dalam Bahaya' yang telah dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Exco Pemuda Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Exco Kerajaan Perak Dr Zambery Abdul Kadir, Tan Sri Abdullah Ahmad serta Ahli Parlimen Datuk Paduka Badruddin Amiruldin.

Propaganda provokatif

"Program 'Melayu Dalam Bahaya' adalah bentuk-bentuk propaganda provokatif yang mampu mengugat keselesaan perpaduan di Malaysia. Ini bagi kami, amat merbahaya kerana sensitiviti perkauman digunakan untuk kepentingan politik segelintir kepimpinan Umno tanpa mengambil kira risiko persengketaan antara kaum," katanya dalam laporan tersebut.

Oleh itu, katanya, pihak polis perlu menyiasat segera dengan seadilnya kerana tidak mahu ada parti politik yang mengambil keuntungan dari persengketaan perkauman.

"Kami juga mendesak agar pihak polis menyiasat pertubuhan-pertubuhan tersebut dan jentera penyebaran maklumat melalui Internet.

"Kami memohon kerjasama polis untuk memberhentikan sebarang usaha untuk meniupkan api perkauman dengan tajuk-tajuk seminar seperti 'Melayu Dalam Bahaya', kerana jelas tajuk-tajuk sedemikian mampu mencetuskan perasaan tidak senang oleh kaum-kaum lain," katanya.

Katanya, Angkatan Muda PKR tidak menolak sebarang usaha untuk meningkatkan martabat Melayu, meningkatkan pegangan ekuiti Melayu dan mendaulatkan bangsa Melayu, tetapi usaha tersebut hendaklah telus dan menyeluruh.