Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puncak Purnama - Sakit mata atau 'mata sakit'?

Di jalan masuk ke sekolah saya ada arca yang berjudul “Ruyung, Sagu dan Masa”. Arca itu biasa sahaja, iaitu berupa imej batang sagu, kapak dan jam.

Pernah ada cadangan untuk merobohkan arca itu. Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana menganggap arca itu ialah karya seni.

Oleh sebab itu, apabila mendapat berita sebuah arca Seniman Negara di Jalan Atap dirobohkan saya berasa amat terkejut dan sedih.

Ke manakah “rasa seni” pihak berwewenang di negara ini?

Semasa arca itu dibina pada 1985, saya masih di Tingkatan Enam. Bas yang saya naiki untuk ke sekolah saban hari akan melalui taman mini UMBC, tempat arca Puncak Purnama dibina.

Saya melihat perkembangan pembinaan arca itu setiap kali bas mini atau Bas KL Klang yang saya naiki melaluinya.

Saya berasa kagum melihat arca itu apabila ia siap dibina pada 1986. Arca itu berupa dua puncak yang bertangga-tangga. Saya bukan sahaja tidak faham akan maksudnya pada waktu itu malahan tidak tahu ia hasil karya Seniman Negara Syed Ahmad Jamal.

Arca itu berwarna putih yang sekarang saya ketahui dibina daripada kaca seramik. Kesan penglihatan terhadap arca itu berbeza-beza mengikut waktu.

Tiada pandangan pengarca

Pada waktu pagi, arca itu kelihatan amat mendamaikan. Pada waktu tengah hari kelihatan amat putih dan sedikit menyilaukan mata.

Paling menarik apabila dilihat pada seputar waktu enam petang. Arca itu kelihatan amat menenangkan. Bayang pada garis-garis binaan berupa tangga kelihatan amat jelas.

Sayang sekali saya tidak pernah terfikir untuk mengabadikan foto kenang-kenangan di arca itu.

Kesan penglihatan seperti itu tidak lagi boleh dilihat apabila bahan binaan arca itu ditukar daripada kaca seramik kepada bahan keluli pada 1996.

Langkah itu bagi saya satu tindakan buta seni yang diambil tanpa mendapat pandangan daripada pengarca sebenar.

Alasan merobohkan arca itu kerana ia menyakitkan mata pula sukar untuk diterima. Alasan itu hanya menyakitkan hati. Tentu ada cara lain untuk menyelamatkan arca itu jika pihak yang berwewenang tidak mengalami masalah 'mata yang sakit'.

Jika anda pernah ke Dayabumi pada tahun 1980-an dan 1990-an, ada satu tempat makan yang dinamakan The Stove. Di situ terdapat arca yang berupa glob.

Saya mendapat tahu kawasan ini hendak dimajukan menjadi hotel. Bagaimanapun, arca glob itu tidak dimusnahkan begitu saja.

Tak mahu mengerti

Pihak pemaju mengambil inisiatif mengalihkannya tanpa memusnah struktur binaan arca berkenaan.

Walaupun begitu nasib arca itu seterusnya tidak saya ketahui. Kali terakhir saya pernah melihat arca glob itu tersadai di depan bangunan Ibu Pejabat Pos Malaysia.

Nah, itu tindakan insan yang ada simpati terhadap karya seni! Tindakan yang sebegitu boleh diambi terhadap Puncak Purnama sepatutnya.

Namun apa lagi yang boleh diharapkan, arca itu telah ranap. Nasi sudah menjadi bubur. Arca itu telah terkubur.

Moga apa yang terjadi terhadap Puncak Purnama menjadi ikhtibar kepada pihak berwewenang dan penggiat seni di negara ini.

Diharapkan hal yang sama tidak berlaku terhadap karya-karya seni yang lain.

Usman Awang telah lama menyuarakan kesan pembangunan ini melalui sajaknya Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya tetapi sesetengah pihak tidak pernah mahu mengerti.


RIMANILZAH lelaki kota raya yang berhijrah ke luar bandar raya dan menjadikan 'kota basah' di utara semenanjung sebagai tempat tinggalnya dan menjadi peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj. 

Lihat Komen
ADS