Hujah bahawa memandangkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bukan dalam perkhidmatan kerajaan persekutuan dan tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam prosiding perbicaraannya adalah terlalu mudah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau mengulas kenyataan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua yang berkata tidak ada keperluan untuk Lim berundur berhubung dua pertuduhan rasuah terhadapnya.

Abdul Rahman berkata, walaupun adalah benar bahawa Lim bukan bersama kerajaan persekutuan, beliau bagaimanapun masih adalah ketua kerajaan yang memerintah di Pulau Pinang, tempat dakwaan berlakunya salah guna kuasa dan rasuah.

"Memandangkan dakwaan itu, hampir pasti bahawa dokumen dan saksi-saksi kerajaan negeri yang diketuai oleh tertuduh akan dirujuk dan dipanggil dalam perbicaraan.

"Ia boleh menjadi satu situasi di mana saksi dikehendaki memberi keterangan terhadap bos mereka yang masih berkuasa.

"Tekanan seperti itu kepada saksi sudah pasti tidak kondusif untuk perbicaraan yang bebas dan adil," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman juga menolak andaian Nurul bahawa tuduhan terhadap Lim adalah satu konspirasi politik bertujuan untuk ‘mengenakan’ pemimpin pembangkang.

[Baca berita penuh]