Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin sedih dan kecewa dengan fitnah JMM, TV3
Diterbitkan:  Jul 4, 2016 3:21 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Program "Nothing to Hide 2.0" oleh NGO Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan disiarkan di TV3 semalam, diselar sekeras-kerasnya hari ini oleh bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyifatkannya sebagai satu pembohongan dan fitnah.

Muhyiddin melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan siaran program pada penghujung bulan suci Ramadan apabila umat Islam dituntut meningkatkan amal ibadah dan memohon ke hadrat Ilahi supaya mengampunkan segala dosa dan kesalahan mereka.

“Presiden JMM, Azwandin Hamzah, jelas berbohong apabila mengatakan saya telah menyatakan persetujuan untuk hadir ke program tersebut dalam pertemuan empat mata antara saya dengan beliau.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah berjumpa dengan beliau, tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menghadiri program itu dan tidak pernah menerima apa-apa jemputan daripada JMM.

“Kenyataan Azwandin adalah satu pembohongan besar yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan menjatuhkan reputasi saya.

“Begitu juga dengan sikap tidak bertanggungjawab TV3 yang turut bersubahat menyebarkan pembohongan yang sama. Semoga Allah SWT memberikan petunjuk kepada mereka semua,” katanya di Facebook.

Menurut timbalan perdana menteri yang dilucutkan jawatannya pada Julai tahun lalu, apabila mendapat tahu JMM terus mengedarkan hebahan mengenai program itu dan menjemput orang ramai untuk hadir, beliau telah mengarahkan pegawainya membuat penafian di media.

Katanya, beliau juga meminta pegawainya menghubungi JMM secara terus untuk menafikan pembabitannya, namun beberapa panggilan yang dibuat kepada Azwandin telah tidak dijawabnya.

“Malah program itu telah dijadikan pentas untuk mengecam saya dan membohongi hadirin kononnya saya telah mungkir janji untuk menghadirinya.

“Saya diberitahu ramai hadirin bertindak meninggalkan majlis selepas mendapati pihak penganjur berbohong mengenai kehadiran saya.

“Tindak tanduk JMM jelas menunjukkan mereka sebenarnya berkomplot untuk menjatuhkan reputasi saya dengan membayangkan saya sebagai seorang pengecut dan tidak boleh dipercayai kerana gagal menghadiri program tersebut,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS