Hujan renyai di Kuala Lumpur dan beberapa tempat lain yang dilanda kemarau, dianggap hujan rahmat pada pagi 1 Syawal bagi umat Islam yang merayakan sambutan Aidilfitri hari ini.
Mereka merayakan hari mulia itu dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau serta mengadakan rumah terbuka dan mengunjungi sahabat handai serta saudara mara.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat menyertai beribu-ribu jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutan di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri Kabinet dan kenamaan asing turut menunaikan solat sunat itu.
Selain itu, Sultan, Yang Dipertua Negeri dan pemimpin politik turut menyertai rakyat untuk menunaikan solat sunat di negeri masing-masing.
Warga Malaysia dan rakyat asing saling mengunjungi rakan taulan mereka yang beragama Islam untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan memeriahkan majlis rumah terbuka, suatu amalan tradisi yang unik di negara ini.
Di PERAK, Sultan Nazrin Shah dan anakanda sulung baginda, Raja Azlan Muzaffar Shah, berangkat menyertai kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir juga hadir.
Sultan Nazrin turut menziarahi makam ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah, makam adinda baginda Almarhum Raja Datuk Seri Ashman Shah serta makam diraja yang lain di Makam Diraja Kuala Kangsar, yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.
Zambry mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman rasminya bermula 2.30 petang hingga 6 petang ini.
Di KEDAH, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir, Alor Setar, yang diimamkan Imam Besar masjid itu, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim.
Turut berangkat sama, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, selain beberapa exco kerajaan negeri.
Baginda kemudiannya bersalaman dengan kira-kira 2,000 jemaah yang datang untuk menunaikan solat sunat itu walaupun hujan pada pagi ini.
Di PAHANG, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid negeri Masjid Sultan Ahmad Shah bersama lebih 5,000 jemaah.
Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, anakanda-anakanda baginda, dengan diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Selepas menunaikan solat, Tengku Abdullah dan anakanda baginda berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada orang ramai dan kanak-kanak di hadapan masjid berkenaan.
Baginda turut mengadakan majlis istana terbuka di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota di Kuatan dari jam 10 pagi sehingga 1 tengah hari.
Di KELANTAN, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid negeri Masjid Muhammadi di Kota Baharu.
Turut menunaikan solat bersama kira-kira 5,000 jemaah ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.
Selesai solat, Sultan Kelantan berkenan berangkat ke Istana Balai Besar yang terletak berdekatan masjid itu bagi menerima menghadap rakyat bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama anggota tentera yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, di Pos Tok O, Rantau Panjang, Pasir Mas.
Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya dekat Kuching.
Turut sama menunaikan solat Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, barisan Kabinet negeri serta ribuan umat Islam.
Abdul Taib dan isteri kemudian mengadakan rumah terbuka di Astana Negeri bermula 10.30 pagi sehingga 4 petang.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pula mengadakan majlis yang sama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dari 10 pagi sehingga 4 petang.
Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Almuktafi-Billah Shah di Kuala Terengganu bersama kira-kira 3,000 jemaah.
Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail serta tiga lagi anakanda baginda Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra' serta Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman turut menunaikan solat.
Selesai solat, baginda bersalaman dengan para jemaah dan berangkat menziarahi makam ayahanda baginda, Almarhum Sultan Mahmud yang terletak di perkarangan masjid tersebut.
Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Arau bersama ribuan umat Islam.
Turut berangkat bersama baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man serta anggota-anggota Exco kerajaan negeri turut hadir menunaikan solat sunat itu.
Selesai solat, Tuanku Syed Sirajuddin serta Tuanku Tengku Fauziah berkenan menerima menghadap pembesar-pembesar negeri di Istana Arau dan mengadakan majlis Istana Terbuka dari 9 pagi hingga 11.30 pagi.
Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri bersama lebih 1,000 umat Islam.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim
dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus.
Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyertai 5,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn.
Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim dan barisan exco negeri.
Di MELAKA, cuaca mendung dan hujan tidak menjejaskan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri menyertai kira-kira 8,000 umat Islam menunaikan solat sunat di Masjid Al Azim, Bukit Palah.
Mohd Khalil, Idris dan kerajaan negeri dijadual mengadakan majlis rumah terbuka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh pada Ahad ini.
Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 6,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menunaikan solat yang diimamkan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat mengadakan jamuan Aidilfitri bagi kira-kira 300 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan dan cawangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Surau Khalid Al-Walid di IPK Selangor.
Katanya bagi tahun ini, hanya 10 peratus daripada sejumlah 14,000 pegawai dan anggota polis di IPK Selangor dibenarkan ambil cuti bersempena Aidilfitri disebabkan komitmen tugas yang harus dipikul dalam aspek pencegahan jenayah.
Di SABAH, kira-kira 5,000 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin dan isteri, Toh Puan Norlidah Datuk RM Jasni di Istana Negeri di Kota Kinabalu.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin, tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Datuk Yahya Hussin, serta dan Menteri-menteri Negeri Sabah.
- Bernama
