Lebih 20,000 orang termasuk pelancong asing mengambil peluang menyambut hari raya bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah bersempena Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Mereka mula membanjiri perkarangan Istana Negara seawal jam 9 pagi walaupun majlis hanya bermula pada jam 10 pagi.

Pada majlis yang berakhir pada 1 tengah hari itu, para pengunjung juga tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Seri Paduka berdua yang turut berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan bungkusan kuih raya kepada hadirin.

Pengunjung bukan sahaja terdiri daripada warga Kuala Lumpur, tetapi juga dari seluruh negara.

Seorang pengunjung Gracye Gloria Raman, 78, berkata beliau sanggup bertolak dari Melaka awal pagi tadi untuk menghadiri majlis pagi ini.

"Ini kali pertama saya datang ke Istana Negara. Perasaan sungguh teruja kerana dapat bertemu Seri Paduka berdua dengan dekat," katanya.

Selain itu Razali Zainal, 35, dari Klang Lama yang datang bersama keluarga, berkata beliau ingin merasai pengalaman menghadiri majlis tersebut bagi meraikan hari raya bukan sahaja dengan Seri Paduka berdua malahan dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Keputusan menangguhkan rancangan pulang ke kampung di Perak demi menghadiri majlis ini ternyata tepat kerana ia merupakan pengalaman yang bermakna buat kami semua. Di sinilah dapat bertemu dan berkenalan dengan orang ramai," katanya.

Bagi seorang warga Amerika Syarikat, Rebecca Schectman, kepelbagaian juadah hari raya yang dihidangkan pada majlis tersebut, terutamanya lemang, membuatkan beliau begitu teruja.

"Majlis ini sungguh indah. Seronok melihat semua orang menyambut Hari Raya," katanya yang tiba di Malaysia minggu lepas bagi mengikuti pengajian Bahasa Melayu selama setahun.

Selain itu pelancong dari Jerman Heiko Kaiser, 23, berkata beliau berasa bertuah kerana berpeluang merasai kemeriahan hari raya di negara ini.

"Kami sepatutnya sudah bergerak ke lapangan terbang sebab penerbangan kami ke Jerman pada 3 petang. Tapi kami tidak mahu melepaskan peluang ini untuk melihat sendiri kekayaan dan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia," kata Kaiser, yang berada di Malaysia sejak Sabtu lepas bersama rakannya Anna-Sophia Elm, 21.

- Bernama