Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribuan kunjungi rumah terbuka Aidilfitri PM, anggota kabinet
Diterbitkan:  Jul 6, 2016 4:45 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Beribu-ribu pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang kehidupan menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anggota Kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, di Putrajaya hari ini.

Mereka mula tiba di Seri Perdana seawal 9 pagi untuk sama-sama merayakan Aidilfitri dengan para pemimpin negara pada majlis yang dijadual berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang itu.

Selain Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tetamu turut diraikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Sebaik sahaja pagarnya dibuka, halaman Seri Perdana bertukar menjadi lautan manusia yang mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucap selamat dan bergambar dengan Najib, yang kelihatan ceria dengan berpakaian baju Melayu berwarna merah pulasan.

Pancaran terik cahaya matahari tidak melunturkan semangat dan kesabaran orang ramai daripada pelbagai kaum dan agama untuk menunggu giliran berjabat tangan dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri serta menteri lain.

Majlis itu turut dihadiri diplomat dan pemimpin politik daripada pelbagai parti, termasuk pembangkang, pelancong dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengunjung disajikan dengan beraneka jenis hidangan, kebanyakannya masakan kegemaran tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat serta nasi himpit dan mereka diberi cenderahati serta duit raya ketika pulang.

Perkhidmatan bas percuma juga disediakan di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra untuk mengambil dan menghantar pengunjung ke majlis itu pada kekerapan setiap 15 minit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS