Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khutbah Aidilfitri bersyukur RUU Hadi, menang ke atas SIS
Diterbitkan:  Jul 7, 2016 6:54 AM
Dikemaskini: 7:53 AM

Khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sempena sambutan Aidilfitri semalam bersyukur dengan kemenangan bagi umat Islam dengan pembentangan rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Begitu juga, ia bersyukur dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak cabaran daripada kumpulan Sister in Islam (SIS) terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai 'sesat'.

“Kita bersyukur di atas kemenangan kita membawa usul enakmen rang undang-undang mahkamah syariah (bidang kuasa jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen semata-mata untuk mengangkat martabat mahkamah syariah di Negara ini.

“Kita juga bersyukur di atas keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah tinggi rayuan dan kuasa-kuasa khas yang telah menolak permohonan Sisters In Islam untuk mencabar keputusan Majlis Fatwa Negeri Selangor mengenai liberalisme di Selangor demi menjaga kesucian dan ketinggian agama Islam supaya tidak dipandang hina di mata agama lain.

“Mrilah kita bersatu atas dasar iman dan Islam yang suci, membelakangkan perbezaan fahaman yang sia-sia dengan kembali kepada Allah dan bersatu menegakkan syariatnya,” petik khutbah itu.

Khubah itu dibacakan di masjid-masjid seluruh Selangor, pagi semalam.

Ia juga menggesa umat Islam untuk mengambil kesempatan pada musim perayaan ini untuk saling bermaafan, meningkat hubungan silatulrahim dan saling menziarahi sesama mereka.

Khutbah itu menambah bahawa walaupun bulan suci Ramadan telah berlalu, ini tidak bermakna bahawa seseorang itu boleh terjebak semula dalam segala perbuatan maksiat dan mungkar yang dihindari sebelum ini.

Ia mengingatkan Aidilfitri adalah ibadah yang menjadi tanda kesyukuran kepada Allah.

"Maka tidak wajar sama sekali kita mencemarkannya dengan maksiat atau perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT, seperti pembaziran, pergaulan bebas, bersentuhan dan bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, berpakaian tidak menutup aurat ataupun kurang sopan, dan leka menghabiskan masa di hadapan televisyen sahaja,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS