PERKASA pertahankan Zakir Naik, bidas kumpulan antara agama
Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA membidas kumpulan antara agama kerana mencadangkan pendakwah Islam Dr Zakir Naik memberi ilham kepada pengikutnya untuk melancarkan serangan pengganas.
Sebaliknya, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam, Dr Amini Amir Abdullah menegaskan pendakwah bebas berasal dari Mumbai itu adalah bereputasi tinggi dan membawa aliran yang sederhana.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) agar tidak terlalu cepat membuat tuduhan yang tidak berasas dan kesimpulan tanpa bukti bukti yang kukuh.
“PERKASA menggesa MCCBCHST menarik balik kenyataannya yang biadap.
“Jika tidak PERKASA menganggap mereka ada niat jahat yang tersembunyi seperti udang di sebalik batu.
“PERKASA dapat membaca apa yang tersirat... mereka sebenarnya mahu memburukkan Dr Zakir dan menghalangnya dari berceramah demi kebenaran agama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Amini, MCCBCHST seharusnya menyiasat dengan mendalam sebelum membuat kenyataan seumpama itu.
“Berhati-hatilah dalam membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam. Jangan sekadar mengikut telunjuk dan berita pihak Barat yang tidak berasas,” katanya.
Amini seterusnya mempertahankan Zakir, yang mencetuskan kemarahan masyarakat bukan Islam semasa lawatannya ke Malaysia baru-baru ini dengan berkata pendakwah itu seharusnya diberi peluang untuk membuat penjelasan.
“PERKASA berpendapat Dr Zakir Naik patut diberi peluang untuk membuat penjelasan dan beliau sepatutnya tidak diletakkan dalam kandang orang yang bersalah.
“Umat Islam patut mempertahankannya. Beliau juga banyak membantu pihak berkuasa memahamkan Islam yang sebenar di sini dan pada peringkat antarabangsa.
“Hampir semua ceramahnya merujuk kepada mesej Islam sebagai agama keamanan sejagat. Beliau juga menekankan Islam sebagai agama perdamaian dan keharmonian,” katanya.
Semalam Zakir menafikan bahawa ucapannya menggalakkan keganasan, dan mengalu-alukan siasatan terhadapnya.

