Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersyukur apabila parti Islam yang diberi amanah untuk mentadbir tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu sebelum ini tidak terlibat dengan kes rasuah.

Hadi berkata, berdasarkan rekod sehingga sekarang, kepimpinan PAS tidak mempunyai kes rasuah berbanding Umno dan DAP, lapor Sinar Harian.

“Yang tak ada kes (rasuah ialah) orang PAS. Alhamdulillah, orang lain ada kes. Pemimpin PAS Kelantan tak ada kes, kita memerintah Kedah, Ustaz Azizan (Abdul Razak) tak ada kes.

“Yang ada kesnya (ialah) Umno dan sekarang DAP pun ada kes,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

PAS memerintah Kelantan selepas menguasai majoriti dewan undangan negeri itu pada pilihan raya umum 1990. Ketika itu PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama parti Semengat 46 serta Berjasa dan Hamim.

Di Kedah pula gagasan Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri itu daripada BN pada pilihan raya umum ke-12 (Mac 2008).

Di Terengganu PAS hanya berkuasa selama sepenggal bagi penggal 1999 dan 2004. Hadi adalah menteri besar yang berkhidmat bagi tempoh berkenaan.

Sementara itu, Hadi yang telah membawa rang undang-undang persendirian ke parlimen turut mengulas soal saksi yang perlu dikemukakan terhadap kes-kes jenayah dalam Islam.

Jelasnya, bagi kes zina dan liwat yang dibawa ke mahkamah syariah, perlu dikemukakan seramai empat saksi.

“Cumanya bagi menjelaskan dalam kes (syariat Islam) ini, kalau zina empat saksi, liwat pun para ulama berkata (perlukan) empat orang saksi.

“Saksi itu pula mestilah saksi yang adil. Adil ini (ialah) yang beriman dan budiman, yang percaya kepada dosa dan pahala khususnya, kalau saksi yang tidak percaya kepada dosa dan pahala, itu tak sah,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Hadi berkata saksi tersebut hendaklah berakhlak yang tidak melakukan dosa besar dan dosa kecil dan juga mempunyai ‘maruah’.

“Contohnya (tak boleh menjadi saksi) kalau orang yang bercakap dia loose yang jenis bercakap apa sahaja. Itu tak boleh (menjadi saksi), ini perincian syarat menjadi saksi dalam Islam, dalam semua kes,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Justeru katanya dalam Islam adalah amat payah untuk menjatuhkan apa-apa hukuman kerana hukumannya adalah sangat keras.