'Benarkan sentuhan fizikal banduan, keluarga'
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa membenarkan sentuhan fizikal antara tahanan dan anggota keluarga mereka.
Wakil rakyat PKR N Surendran menyeru Zahid, yang juga menteri dalam negeri, segera mengarahkan semua penjara membenarkan perkara itu.
"Ini perlu dilakukan, bukan sahaja sebagai pematuhan undang-undang, tetapi juga atas nama keadilan dan kemanusiaan," kata anggota parlimen Padang Seri dalam kenyataan, hari ini.
Surendran membangkitkan satu acara anjuran penjara Kajang, “Program Pautan Ramadan” yang menyaksikan 50 banduan terpilih dibenar bersentuh secara fizikal dengan anggota keluarga mereka.
"Kebiasaannya, tiada sentuhan fizikal dibenarkan semasa sesi lawatan penjara dengan anggota keluarga perlu berkomunikasi menggunakan telefon.
"Mengejutkan dan tidak dapat diterima apabila keluarga tidak dibenarkan bersentuhan dengan banduan di penjara Malaysia," katanya.
Surendran berkata, beberapa bentuk sentuhan fizikal dibenarkan antara banduan dengan anggota keluarga mereka dalam sistem penjara yang berbeza, seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Penjara dan sedang menunggu jawapannya berkaitan perkara ini.
Jazlan beri penjelasan
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, hukuman penjara bermakna banduan itu hilang kebebasan.
Justeru, katanya, tidak timbul isu mereka boleh bersentuhan dengan anggota keluarga ketika sesi lawatan.
“Bila masuk penjara, penjara ini maksudnya dilaranglah. Dia tak ada kebebasan dan sebagainya.
“Soal nak sentuh semua ini apa masalahnya. Bila masuk penjara, anda (banduan) hilang kebebasan,” beliau dipetik sebagai berkata kepada FMT hari ini.
[Baca berita penuh]

