DAP menyenarai pendek dua pilihan utama sebagai tindak balas kepada pertuduhan rasuah yang difailkan ke atas setiausaha agung parti itu yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, salah satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

Pilihan satu lagi pula ialah menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan selewat-lewatnya bulan Ogos 2018.

"Apa jua pilihan yang bakal diambil, kami meminta rakyat memutuskan sama ada tindakan ke atas Guan Eng adalah penganiayaan politik dan rakyat mahu Pakatan Harapan terus memerintah negeri ini," jelas Ramasamy kepada Malaysiakini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu setakat ini, ujar Ramasamy yang juga timbalan setiausaha agung parti itu.

"Ia hanya perbincangan dalam peringkat mesyuarat parti baru-baru ini di Pulau Pinang, perkara itu belum dibawa untuk perbincangan di peringkat Pakatan Harapan lagi ataupun mesyuarat eksekutif pusat parti.

"Kami di tengah-tengah pembincangan mengenai bagaimana bertindak balas terhadap penganiayaan politik yang dilakukan terhadap ketua menteri dan setiausaha agung parti," katanya.

Difahamkan DAP mungkin mahu untuk menangguk di air keruh susulan gelombang kemarahan penyokong Guan Eng yang mendakwa beliau sedang ditindas oleh BN.

[Baca berita penuh]