Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau semua lokasi atau pusat pelancongan di Melaka agar bebas daripada sebarang ancaman terutama kumpulan militan Daesh.

Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka, Datuk Ghazale Muhamad berkata inisiatif berkenaan dijalankan secara berterusan dan pemantauan turut melibatkan pintu masuk di semua laluan di negeri ini.

"Saya telah merisik situasi keganasan di Melaka melalui Ketua Polis negeri dan setakat ini Melaka masih terjamin keselamatannya.

"PDRM memberi tumpuan khususnya di semua tempat perhimpunan utama orang ramai dan pelancong selain memberikan pemerhatian dan pemantauan setiap pihak yang mencurigakan masuk ke negeri ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Anggota Dewan Undangan Negeri Rim di Jasin.

Mengulas lanjut, Ghazale berkata pihaknya akan mengemas kini maklumat dan keadaan semasa dengan semua pihak berkuasa bagi memastikan industri pelancongan di Melaka tidak terjejas.

- Bernama