Usaha terbaru dapatkan pengampunan bagi Anwar
Satu inisiatif baru sedang diusahakan oleh sebuah sekretariat yang ditubuhkan dua bulan lalu, untuk mendapatkan pengampunan bagi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Satu inisiatif baru sedang diusahakan oleh sebuah sekretariat yang ditubuhkan dua bulan lalu, untuk mendapatkan pengampunan bagi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berikutan itu, 'Konvensyen Pengampunan Anwar Ibrahim' akan diadakan di Kuala Lumpur pada 1 Mei depan bagi merintis jalan bagi mendapatkan pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Petuan Agong itu
Parti-parti politik termasuk di Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno juga akan dijemput untuk menghadiri konvensyen tersebut yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Pengerusi Sekretariat Pengampunan Anwar, Mohd Zaki Abdul Rahman berkata, dua penceramah utama di konvensyen tersebut ialah bekas Naib Cancelor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tan Sri Ainuddin Wahid dan peguam Anwar, Christopher Fernando.
Katanya, konvesyen itu akan menentukan cara yang boleh diambil untuk membolehkan Anwar mendapat pengampunan diraja selepas dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dari sabitan dan hukuman bagi kesalahan liwat September tahun lalu.
Walaupun dibebaskan bagi tuduhan liwat, tetapi Anwar telah disabitkan kesalahan salahguna kuasa dan menjalani hukuman penjara selama enam tahun.
Berikutan itu, sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang, beliau tidak boleh memegang jawatan politik atau bertanding dalam pilihanraya sehingga 14 April 2008.
"Resolusi konvesyen tersebut akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail bagi membolehkan mereka memanjangkannya kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Manfaat pengalaman Anwar
Menurut Mohd Zaki, Sekretariat Pengampunan Anwar ditubuhkan dua bulan lalu oleh beberapa rakan baik bekas timbalan perdana menteri itu sebagai urusetia bagi membolehkan Anwar mendapat pengampunan diraja melalui saluran undang-undang.
Mohd Zaki berkata, Anwar setuju dengan penganjuran konvesyen tersebut, tetapi meminta supaya keluarganya tidak dilibatkan untuk mendapatkan pengampunan diraja tersebut.
Menurutnya, pengalaman Anwar dalam pentadbiran negara dan kedudukannya di peta dunia luar sepatutnya dimanfaatkan bagi memacu pembangunan negara yang lebih cemerlang.
"Konvesnyen ini diharap dapat membuka jalan bagi penyelesaian politik negara yang berlaku sejak pemecatan Anwar pada 2 September 1998. Diharapkan pengampunan Anwar menjadi pencetus kepada perpaduan yang lebih erat di kalangan orang Melayu.
"Kami akan memberitahu Parti Keadilan Rakyat mengenai konvesyen itu dan menjemput wakil mereka untuk hadir sama. Sekretariat juga akan menjemput parti politik lain, termasuk Umno untuk menghadiri konvesyen tersebut," katanya lagi.
Beliau berkata, usaha tokoh politik untuk mendapatkan pengampunan diraja bukanlah perkara baru kerana sebelum ini pun, bekas Menteri Selangor Datuk Harun Idris dan bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, telah mendapat pengampunan diraja.
Katanya, usaha untuk membebaskan Anwar telah dilakukan oleh rakyat negara ini sejak beliau berada dalam penjara lagi melalui demontrasi, laporan polis dan solat hajat.

