Sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat beberapa kes vandalisme melibatkan kuil-kuil Hindu di Pulau Pinang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata pasukan itu yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan melaporkan kepada beliau secara terus mengenai perkembangan kes itu.

Pasukan itu diketuai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan.

Khalid juga melahirkan kebimbangan terhadap insiden itu dengan memberi amaran ia boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini.

"Saya bimbang, dan itulah sebabnya saya memutuskan untuk membentuk satu pasukan khas ini. Kita tidak akan bertolak ansur dengan orang-orang yang tidak menghormati hak kebebasan agama.

"Merosak tempat-tempat ibadat adalah satu kesalahan yang serius dan mempunyai potensi untuk menyebabkan kekacauan agama. Saya tidak akan benarkan perkara ini berlaku di bawah pentadbiran saya," katanya.

Ditanya sama ada kes itu melibatkan kumpulan pengganas atau dipengaruhi oleh IS, Khalid berkata tiada bukti untuk mengaitkannya pada masa ini.

"Berdasarkan siasatan kami, kami tidak menemui sebarang bukti untuk mengaitkan kedua-duanya. Bagaimanapun, kami tidak menolak sebarang kemungkinan," katanya.

Pada masa yang sama, Khalid berkata jawatankuasa kuil juga perlu mengambil langkah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.

Ketua polis itu juga meminta masyarakat Hindu untuk bertenang dan membenarkan pihak polis mengesan pesalah berkenaan.

"Saya faham kemarahan dan perasaan kecewa. Saya tahu ia menyedihkan melihat ini berlaku kepada tempat ibadat. Tetapi kita mesti bertenang.

"Saya berjanji bahawa kita akan lakukan yang terbaik untuk mengenal pasti dan menangkap penjenayah itu," katanya.

Dalam kejadian terbaru, penceroboh memecahkan tiga patung dewa dalam kuil Sri Muneeswarar di Jalan Kudin, Gelugor, semalam.

Ini menjadikan empat kuil dirosakkan dalam dua bulan lepas.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy berkata, ia memberikan gambaran jenayah kebencian.