Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PKR lupa kemelut dalaman kerana angkuh'
Diterbitkan:  Jul 11, 2016 5:09 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Kenyataan oleh pembangkang bahawa Selangor tidak mampu ditawan semula oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang disifatkan sebagai angkuh dan bongkak, kata Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali itu berkata, keputusan pilihanraya kecil Sungai Besar baru-baru ini mencerminkan tahap keyakinan yang menyusut kepada pentadbiran negeri semasa.

Bercakap kepada Umno Online, beliau menambah, rakyat sudah bosan dengan politik pembangkang yang bertempur sesama sendiri dalam perebutan kuasa dan kedudukan.

"Kerana sombong dan angkuh, mereka lupa dan tidak sedar dengan kemelut dalaman yang berlaku di dalam parti sendiri dan semua tahu bagaimana wujudnya puak-puak tertentu di dalam PKR.

"Itu belum lagi diambil kira kewujudan kem PKR yang pro kepada Pas dan juga kumpulan PKR yang condong kepada PAN (Parti Amanah Negara).

"Bagaimana pula dengan perang antara Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali dengan Rafizi Ramli yang mewakili kumpulan pro Wan Azizah," tanya beliau dalam laporan Umno Online, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang memperkecilkan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai menteri kabinet.

Menurutnya lagi, sikap seperti itu mendedahkan keengganan pembangkang untuk menghadapi realiti.

Katanya, pelantikan Noh Omar sebagai menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Selangor.

“Saya percaya ini adalah gelombang baru untuk membolehkan rakyat yang sebelum ini dibiarkan oleh kerajaan yang hanya ingin berpolitik sepanjang masa dan bukannya menitik beratkan pembelaan terhadap rakyat,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS