Kerajaan Pulau Pinang mahu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengharamkan segera aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda dan menggunakan undang-undang bagi melindungi kawasan tadahan yang menjadi sumber utama air mentah bagi Pulau Pinang dan selatan Kedah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tindakan melindungi hutan simpan itu akan mengurangkan risiko krisis air di kedua-dua negeri itu sekiranya berlaku kemarau panjang, seperti fenomena El Nino yang melanda selama lima bulan pada tahun ini.

"Langkah ini akan memastikan Pulau Pinang dan Kedah terus melaksanakan ekonomi dengan baik dan stabil sepanjang tahun," kata Lim dalam surat yang ditujukan kepada Zahid di Putrajaya hari ini.

Ia merupakan surat kedua kerajaan Pulau Pinang kepada Zahid yang mempengerusikan Majlis Sumber Air Negara sejak April tahun ini apabila kawasan utara dilanda fenomena Super El Nino yang menjejaskan bekalan air.

"Perlindungan hutan simpan dialu-alukan secara positif oleh semua sektor di Malaysia, termasuk ahli alam sekitar tempatan dan global, dan akan dilihat sebagai langkah mesra alam oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Lim menggesa Zahid campur tangan untuk mengharamkan semua aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, yang merupakan kawasan tadahan bagi Sungai Muda, sumber utama air mentah untuk dua juta penduduk di Pulau Pinang dan selatan Kedah.

Beliau berkata, jika hutan simpan itu terus dimusnahkan, ia akan menyebabkan kekurangan air mentah dari sungai.

Sekiranya kualiti air terjejas, ia akan memberi kesan kepada kualiti air terawat bagi Pulau Pinang dan selatan Kedah, katanya.

Lim menegaskan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengambil 80 peratus (atau satu bilion liter) air mentah Pulau Pinang dari Sungai Muda, manakala 14 loji rawatan air di Kedah juga memperoleh air dari sungai di utara.

Setiap hari, Pulau Pinang dan Kedah mengeluarkan 1.56 bilion liter daripada Sungai Muda dan ia menyebabkan krisis air jika berlaku sebaliknya, kata Lim.

Katanya, krisis air akan memberi kesan kepada bekalan air kepada beribu-ribu perniagaan, termasuk syarikat-syarikat teknologi tinggi yang beroperasi di Taman Hi-Tech Kulim dan taman-taman perindustrian di Pulau Pinang.

"Pada tahun 2014, Pulau Pinang menyumbang 6.5 peratus (atau RM88 bilion), manakala Kedah 3.4 peratus (atau RM47 bilion) kepada KDNK negara berjumlah RM1365.4 bilion," kata Lim.

"Krisis air akan menyebabkan berbilion kerugian bagi industri-industri ini, manakala Pulau Pinang, Kedah dan reputasi Malaysia sebagai hab perkhidmatan, pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan (terutamanya untuk elektronik dan elektrik) akan terjejas," katanya.