1Malaysia Development Bhd. (1MDB) hari ini bersetuju terhadap permintaan timbang tara (RFA) yang difailkan oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar).

1MDB berkata, syarikat itu yakin tentang kedudukan undang-undangnya dan telah mengemukakan maklum balas formal dan kukuh kepada RFA menerusi penasihat undang-undang, Weil Gotshal & Manges (Weil Gotshal).

"1MDB menegaskan walau apa pun pertikaian dengan IPIC, ia akan terus melaksanakan pelan rasionalisasi dan masih mampu memenuhi tuntutan hutang semasanya," kata syarikat pelaburan itu dalam kenyataannya hari ini.

Pada pertengahan bulan lalu, 1MDB telah melantik Weil Gotshal sejajar dengan penerimaan RFA itu dari Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London bertarikh 13 Jun 2016.

"Weil Gotshal terkenal di seluruh dunia, firma guaman bertaraf paling tinggi dengan kepakaran, antara lainnya, dalam tindakan undang-undang antarabangsa," kata 1MDB.

Susulan pelantikan tersebut, 1MDB berjanji akan menfailkan maklum balas yang kukuh kepada RFA, pada atau sebelum tarikh akhir 11 Julai 2016, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Pada bulan lalu, 1MDB sekali lagi membuktikan pengkritiknya salah apabila telah membayar RM1.579 juta kupon faedah bagi sukuk RM2.4 bilion Bandar Malaysia yang matang pada 2024.

Pembayaran itu merupakan pembayaran faedah kedua yang dibuat oleh 1MDB sejak pertikaiannya dengan IPIC.

Pembayaran pertama pada Mei apabila 1MDB membuat pembayaran kupon berjadual berjumlah RM143.75 juta bagi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion pada 5.75 peratus yang matang pada 2039.

Kedua-dua bayaran itu menunjukkan bahawa syarikat mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membuat bayaran faedah dan memenuhi obligasi hutang semasanya walaupun terdapat kritikan.