Pembatalan lesen syarikat penerbangan Rayani Air dianggap terburu-buru dan membebankan pengguna yang terpaksa menanggung kerugian ratusan malahan ada yang mencecah ribuan ringgit akibat telah membeli tiket penerbangan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata pelanggan Rayani Air juga perlu menanggung kos pembelian tiket baharu tanpa menerima bayaran balik seperti yang dijanjikan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu.

"Sepatutnya tidak boleh terburu-buru tarik lesen Rayani Air sebab isu berkaitan gaji pekerja dan kos tiket yang telah dibeli pengguna juga perlu diambil kira.

"Jadi bila lesen sudah tiada, mereka (Rayani Air) juga tidak akan ambil kisah lagi tentang bayaran gaji dan kos tiket pengguna, untuk apa dia fikirkan lagi sebab lesen mereka sudah tiada," katanya kepada Bernama.

Pada 13 Jun lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan itu.

Hari ini, sekurang-kurangnya 15 orang pelanggan Rayani Air yang kerugian lebih RM28,00 buntu apabila cek yang diterima sebagai bayaran balik merupakan cek tendang.

Keadaan bertambah parah apabila kesemua mangsa ini yang hadir ke pejabat Rayani Air yang beroperasi di Seksyen 15, Shah Alam bagi menyelesaikan masalah mereka mendapati ia tidak beroperasi dengan notis pemberitahuan bahawa penutupan itu bersempena Aidilfitri.

Suzila Wati Mohd Sarip, 45, yang kerugian hampir RM7,000 berkata syarikat berkenaan berjanji akan memberikan cek kepadanya dalam tempoh sebulan sebelum beliau menerima cek bertarikh 30 Jun itu.

"Saya tunaikan cek saya pada hari yang sama tetapi selepas empat hari saya dapat surat daripada bank menyatakan cek yang ditunaikan itu ditendang," katanya kepada Bernama di Shah Alam hari ini.

Sharif Wan Sabli, 26, berkata beliau diberikan tempoh selama 90 hari bekerja untuk mendapatkan cek.

"Saya telah diminta untuk isi borang bayaran balik melalui e-mel. Kemudian mereka kata kena tunggu 90 hari bekerja dan pada awal Jun lepas saya telah ke pejabat Rayani Air untuk dapatkan cek.

"Saya telah diberikan cek bertarikh 1 Julai dan saya telah tunaikannya tetapi pada 4 Julai lepas cek saya jadi cek tendang.

"Sebelum itu, saya dah berhadapan dengan kesukaran untuk menghubungi Rayani Air berikutan kakitangannya yang bertukar-tukar dan ia sekali gus menyukarkan proses tuntutan," katanya.

Abdul Sadat Abdu Rahiman, 44, yang kerugian RM1,800 berkata beliau juga mengalami masalah sama seperti mangsa lain yang dijanjikan tempoh 90 hari untuk mengambil cek tetapi akhirnya cek yang diterima tidak dapat ditunaikan.

Sementara itu, pembantu juruterbang yang enggan namanya dikenali berkata beliau masih tidak dibayar gaji yang berjumlah kira-kira RM12,000 sedangkan dijanjikan untuk menerima gaji sebelum raya.

"Saya dijanjikan bahawa gaji saya akan dibayar sebelum raya tetapi sehingga hari ini tiada sebarang khabar berita. Saya datang pejabat hari ini sebab nak tuntut gaji," katanya.

Berdasarkan kumpulan Whatsapp yang diwujudkan pelanggan Rayani Air, kira-kira 140 orang mangsa turut mengalami nasib sama. Usaha untuk menghubungi pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dan Datuk Karthiyani Govindan, gagal.

-Bernama