Bukan sahaja membazirkan wang malah adalah tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri Pulau Pinang semata-mata mahu mengukur maklum balas rakyat terhadap kedua-dua tuduhan rasuah ke atas Ketua Menteri negeri itu, Lim Guan Eng, kata UMNO Pulau Pinang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, adalah tidak betul untuk mendapatkan satu referendum berkenaan Guan Eng apabila beliau enggan mengambil cuti atau meletak jawatan ekoran pertuduhan rasuah tersebut.

Pilihan raya negeri biasanya diadakan apabila para pemimpin menghadapi krisis dalaman dan tidak yakin atau tidak pasti mengenai kepimpinan mereka, jelas Zainal Abidin.

"Adakah Guan Eng telah hilang keyakinan majoriti ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan merasakan keperluan untuk membubarkan dewan undangan negeri," tanya beliau.

"Rakyat perlu diingatkan bahawa Guan Eng yang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas dakwaan rasuah dan bukannya kerajaan negeri Pulau Pinang," ujarnya dalam kenyataan.

"Guan Eng yang akan dibicarakan di mahkamah, bukannya kerajaan Pulau Pinang," tambahnya.

Zainal turut mempersoalkan mengapa Guan Eng dan kerajaan negeri Pulau Pinang perlu mengheret rakyat ke dalam kes beliau sedangkan peluang mencukupi disediakan oleh mahkamah untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

Beliau juga bertanya sama ada rancangan pilihan raya mengejut adalah muslihat politik DAP dan Pakatan Harapan untuk menyembunyikan kebenaran daripada rakyat.

"Apakah Guan Eng dan Pakatan Harapan takut kebenaran yang akan didedahkan di mahkamah semasa perbicaraan kerana boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap Guan Eng, DAP dan Harapan," tanya Zainal.

"Sama ada beliau bersalah atau tidak, kes itu akan diputuskan oleh mahkamah.

"Pilihan raya mengejut atau referendum mengenai Lim bukan cara untuk memutuskan sama ada Lim bersalah atau tidak bersalah atas pertuduhan rasuah," katanya.

Zainal menambah, DAP kini perlu mencari pengganti bagi jawatan ketua menteri dan mengarahkan Guan Eng supaya bercuti sehingga kes tersebut selesai.

[Baca berita penuh]