Subramaniam berjaya batalkan saman Ramalingam
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Presiden MIC Datuk Seri Dr. S.Subramaniam dan tujuh lagi
untuk membatalkan saman berhubung dakwaan berkonspirasi bagi menggulingkan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, tahun lepas.
Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan daripada kesemua lapan plaintif dan lapan defendan.
Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh yang mewakili dua defendan, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Datuk Mohamad Razin Abdullah dan pegawai ROS, Akmal Yahya ketika ditemui media berkata mahkamah membatalkan saman itu atas alasan kesemua plaintif tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan saman itu.
Katanya mahkamah memerintahkan kesemua plaintif membayar kos sebanyak RM15,000 kepada kesemua defendan itu.
Pada 5 Feb lepas, bekas Setiausaha Agung MIC, A.K. Ramalingam dan tujuh lagi memfailkan saman terhadap Subramaniam dan tujuh yang lain atas dakwaan berkonspirasi untuk menggulingkan Palanivel.
Selain Ramalingam, turut disenaraikan sebagai plaintif ialah V.Ganesh,
Datuk Henry Benedict Asirvatham, M.Sathiyamurthu, George Alexander Fernandez, R.M Prabu, R.Sithambaran Pillay dan V.Rajoo.
Kesemua plaintif menamakan Subramaniam, Datuk S. Vigneswaran, Datuk Jaspal Singh, T. Mohan, A Sakthivel, peguam V. Vasanthi, Mohamad Razin dan Akmal sebagai defendan.
-Bernama

