ULASAN l Ini cerita lawak. Tapi apa nak dihairankan? Malaysia dah jadi bahan lawak satu dunia.

Sarawak Report lapor maklumat yang ia dakwa dari Laporan Pengauditan 1MDB oleh Ketua Juruaudit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Laporan itu dah diserahkan kepada Parlimen tapi dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Jadi salah kalau dedahkan kepada umum.

Kalau betul maklumat Sarawak Report itu daripada laporan tersebut, ia sudah langgar OSA dan boleh disiasat, dihadapkan ke mahkamah dan sekiranya sabit kesalahan dihukum penjara mandatori sehingga dua tahun.

Boleh jadi masa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, arah Ambrin menentukan kesahihan laporan audit 1MDB pada 4 Mac tahun lalu dia nak sabotaj atau lengahkan penyiasatan ke atas syarikat yang dia sendiri kemudikan.

Dia mungkin sangka Ambrin akan bagi cap jari kepada akaun tersebut maka dengan itu bebaslah dia daripada disyaki seleweng berbilion-bilion ringgit duit 1MDB.

Jadi apabila laporan Ambrin itu bukan saja tak dihebahkan malah dikunci pula di bawah OSA jelaslah ada benda besar yang Najib tak mahu rakyat jelata tahu.

Soalnya, trompet beliau yakni Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia, dah kata laporan Sarawak Report kena disiasat untuk sahkan betul atau tidak.

Pekung di dada Najib

Ketua Polis Negara Najib pula, Tan Sri Khalid Abu Bakar kata dia akan tanya Ambrin.

Tapi macam mana dia nak tanya dan macam mana Ambrin nak jawab pasal laporan itu dah jadi dokumen ‘super’ sulit bawah OSA?

Katakanlah Khalid tanya dan Ambrin sahkan laporan Sarawak Report tu betul. Kita yang baca laporan Sarawak Report walaupun Salleh Said cuba sekat tahulah bahawa maklumat itu benar. Dengan itu lagi banyaklah pekung di dada Najib terdedah.

Tapi Ambrin boleh kata dia tak boleh jawab pasal laporan itu sudah diOSAkan.

Masalahnya kita yang baca berita arahan Najib kepada Ambrin 4 Mac tahun lalu dan laporan Sarawak Report tiga hari lepas boleh buat kesimpulan bahawa bila laporan Ketua Juruaudit Negara itu diOSAkan maka tentulah ada rahsia besar yang Najib dan konco-konco beliau nak sembunyikan.

Nak tangkap dan siasat Sarawak Report pun tak boleh pasal ia beroperasi di United Kingdom. Bukan tak cuba tapi tak berjaya!

Tahun lalu Khalid cuba tangkap pengarang Sarawak Report , Claire Rewcastle-Brown, tapi gagal apabila Polis Antarabangsa (Interpol) kata tak ada sebab nak tanggap perempuan orang putih itu.

Syusyah kan?

Kalau betul maklumat Sarawak Report itu dari laporan Ketua Juruaudit Negara, ia dah jadi cerita kong-kalikong.

Kita rakyat jelata Malaysia yang tak layari Internet tak tahu tapi orang putih yang jauh beribu batu tahu.

Balik kepada cerita zaman dulu kala. Orang Melayu tak tahu apa-apa. Dok tak dok orang putih dah jajah satu Malaya.

Boleh lagi kusut kepala Salleh Said. Dia sekat Sarawak Report dan blog tapi rakyat jelata yang celik komputer boleh baca juga. Mereka lompat kawat duri yang dia pasang.

Terima kasih kepada pembahas yang kongsi maklumat macam mana nak lompat atau runtuhkan tembok yang Salleh Said dirikan.


Datuk A Kadir Jasin adalah Tokoh Wartawan Negara dan juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times. Tulisannya ini kali pertama dimuatkan di blognya, The Scribe A Kadir Jasin.