Misteri selubungi dana pendidikan anak-anak MH370
Keluarga mangsa pesawat penerbangan Malaysia MH370 dan MH17 dilaporkan tidak menahu mengenai tabung dana pendidikan yang ditubuhkan untuk anak-anak mrereka.
Menurut akhbar New Straits Times, beberapa waris anak kapal MH370 tidak pernah didatangi oleh yayasan pendidikan itu yang ditubuhkan pada 2014.
Yayasan berkenaan ditubuhkan oleh pengerusi syarikat perubatan Cina, Eu Yan Sang, Anne Eu, dengan ikrar awal RM500,000 daripada firmanya dan Kumpulan Genting Bhd.
Eu disenaraikan dalam majalah Forbes sebagai dermawan Asia kerana kerja-kerja amalnya, yang termasuk penubuhan yayasan pendidikan itu.
Bagaimanapun, tiga waris terdekat mangsa MH370, termasuk isteri ketua pramugara Wan Said Wan Ismail, Nur Laila Ngah, berkata mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada yayasan itu.
"Setakat yang saya tahu, tidak pernah ada sebarang bantuan daripada sesiapa," kata Nur Laila yang dipetik dalam NST.
"Apabila berita kehilangan pesawat itu masih baru, kami (waris) mendapat tahu ada pihak yang mahu membantu anak-anak kami, tetapi tidak seorang pun daripada mereka yang menghubungi kami," kata ibu kepada tiga anak berusia 14, 12 , dan 10 tahun itu.
Begitu juga, anak perempuan anak kapal MH370, Hazrin Hasnan yang berusia tujuh tahun juga tidak menerima bantuan.
"Kami menerima pelbagai janji untuk membantu pendidikan, tetapi tiada siapa yang tampil ke hadapan," kata kakak Hazrin, Syafinaz.
Jacquita Gonzales, isteri kepada penyelia penerbangan MH370, Patrick Gomes, juga berkata beliau tidak pernah menerima sebarang bantuan pendidikan untuk anak lelakinya yang berusia 17 tahun.
"Setakat yang saya tahu, tiada seorang pun anak-anak mangsa MH370 menerima sebarang bantuan pendidikan."
NST melaporkan ia tidak berjaya menghubungi dengan saudara-mara mangsa MH17.
Jurucakap Eu memaklumkan kepada akhbar harian berbahasa Inggeris itu, pihaknya akan memberi maklumat kemas kini mengenai yayasan berkenaan pada Khamis ini.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.
Selang beberapa bulan, pada 18 Julai, MH17 pula ditembak jatuh ketika terbang di Ukraine, mengakibatkan semua 283 penumpang dan 15 anak kapal terbunuh.

