Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed disifatkan kurang perikemanusiaan apabila terus menafikan sentuhan fizikal antara tahanan dan anggota keluarga mereka.

Wakil rakyat PKR, N Surendran berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nur Jazlan semalam yang mendakwa hukuman penjara bermakna banduan itu hilang kebebasan.

Justeru, kata Nur Jazlan, tidak timbul isu mereka boleh bersentuhan dengan anggota keluarga ketika sesi lawatan.

"Jawapan beliau akan mengejutkan serta menyakiti ribuan ahli keluarga tahanan yang begitu terdesak untuk bersentuhan dengan mereka yang tersayang.

"Kenyataannya kejam dan tidak bertanggungjawab, memaparkan kurangnya simpati atau perikemanusiaan," kata Surendran dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Nur Jazlan juga disifatkan 'jahil undang-undang' mengenai tahanan.

"Bolehkah Nur Jazlan menunjukkan di mana dalam Akta Penjara 1995 atau Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tahanan hilang semua kebebasan mereka? Dia tidak boleh berbuat demikian kerana tidak perkara seperti itu." tambahnya.

Semalam, Surendran menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membenarkan sentuhan fizikal antara tahanan dan anggota keluarga mereka.

Beliau merujuk kepada satu acara anjuran penjara Kajang, “Program Pautan Ramadan” yang menyaksikan 50 banduan terpilih dibenar bersentuh secara fizikal dengan anggota keluarga mereka.

"Kebiasaannya, tiada sentuhan fizikal dibenarkan semasa sesi lawatan penjara dengan anggota keluarga perlu berkomunikasi menggunakan telefon.

"Mengejutkan dan tidak dapat diterima apabila keluarga tidak dibenarkan bersentuhan dengan banduan di penjara Malaysia," katanya.

Surendran berkata, beberapa bentuk sentuhan fizikal dibenarkan antara banduan dengan anggota keluarga mereka dalam sistem penjara yang berbeza, seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.