Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tertuduh kedua kes bunuh Kevin lantik peguam baru

Tertuduh kedua dalam perbicaraan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, hari ini melantik peguam baru, menggantikan peguam V. Rajehgopal yang menarik diri daripada mewakilinya.

Peguam S. Ramesh akan mewakili G. Gunasekaran, 48, seorang penganggur, pada perbicaraan yang akan bersambung selama empat hari bermula 15 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa mewakili pendakwaan ketika kes itu disebut hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noor Aini Yusof.

Pada 28 Jun lepas, Rajehgopal yang mewakili Gunasekaran, menarik diri
daripada mewakili Gunasekaran atas faktor terdapat konflik kepentingan antara beliau dan tertuduh.

Pada 27 Januari lepas, Gunasekaran dan enam lelaki termasuk seorang doktor tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Kevin yang mayatnya ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, Selangor pada 16 September 2015.

Enam lelaki iaitu Gunasekaran, R. Dinishwaran, 24, A. Thinesh Kumar, 26, M. Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah membunuh Kevin yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pakar patalogi, Dr K. Kunaseegaran, 53, pula mengaku tidak bersalah
bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, 55, di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Dr Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama manakala enam lelaki itu didakwa mengikut

Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
-Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS