'Kita tahu buat kerja, tak perlu nak ajar'
“Kerajaan negeri, kita tahulah buat kerja kita. Tak perlu ajar kita.”
Itu reaksi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah apabila diminta mengulas saranan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agar kerajaan negeri mengekalkan kawasan hutan bagi mengatasi masalah bekalan air.
Sebaliknya, Ahmad berkata, CAP hanya pandai bercakap dan mengarah sahaja.
“Dia cakap saja pandai, ajar kita buat itu dan ini,” kata Ahmad, mengakhiri sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kedah mengekalkan kawasan hutan dalam usaha mengatasi masalah bekalan air di negeri itu.
Presidennya, Mohamed Idris berkata Kedah perlu menghentikan kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan untuk tujuan perladangan dan pertanian berskala besar.
Beliau juga menggesa perlu kerajaan Kedah mewartakan seluruh kawasan hutan negeri sebagai hutan simpanan kekal (HSK) bagi tujuan perlindungan sebagai tadahan air.
Jirannya Pulau Pinang sebelum ini mahu aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda di Sik, Kedah diharamkan bagi melindungi kawasan tadahan yang menjadi sumber utama air mentah kedua-dua negeri.
Ketua menterinya Lim Guan Eng menghantar surat kepada timbalan perdana menteri, berkata tindakan itu boleh mengurangkan risiko krisis air kedua-dua negeri jika berlaku kemarau panjang, seperti sebelum ini.
Kawasan utara dilanda fenomena super El Nino yang menjejaskan bekalan air.
Sejak beberapa hari lalu beberapa kawasan di sekitar Pendang, Kuala Nerang dan Padang Terap di Kedah dilaporkan mengalami masalah air, termasuk ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.
Telaga tiub
Kedah hari ini mengumumkan akan akan menggunakan telaga tiub dengan bantuan Jabatan Mineral dan Geosains bagi menangani krisis itu, sementara mencari penyelesaian jangka panjang.
Sebuah jawatankuasa bertindak juga akan ditubuhkan bagi mencari penyelesaian untuk jangka masa panjang.
“Kita akan pertingkatkan penghantaran bekalan air sehingga masalah air ini dapat di atasi dan tidak ada jangka masa yang ditetapkan untuk kita selesaikan masalah air ini.
“Sebab kita juga perlu pujuk kerajaan pusat untuk salurkan dana yang lebih besar bagi penyelesaian jangka panjang” kata Ahmad.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh exco bekalan air, tenaga, perumahan dan pembangunan insan Datuk Badrul Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din.
Jawatankuasa tersebut akan membabitkan penglibatan pegawai daerah, anggota parlimen, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan agensi-agensi di peringkat negeri dan persekutuan.

