Gerakan tak setuju pilihan raya mengejut di Pulau Pinang
Cadangan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ini sebagai pungutan suara bagi mengukur sentimen orang ramai terhadap dua tuduhan rasuah melibatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak wajar dilaksanakan, kata Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Beliau berkata langkah itu sebenarnya hanya bermotifkan politik dan bertujuan mengalih perhatian orang ramai daripada tuduhan yang dikenakan terhadap Lim.
Menurut beliau, menjadikan pilihan raya sebagai pungutan suara berhubung tuduhan rasuah terhadap Lim adalah suatu langkah yang tidak betul.
Mah juga bertanya sama ada DAP beranggapan bahawa pada masa akan datang, pilihan raya mengejut boleh digunakan untuk menyekat atau melepsakan diri daripada menghadapi keputusan mahkamah bagi tuduhan serupa.
"Dan kerajaan negeri Pulau Pinang hanya memandang remeh tentang perbelanjaan besar yang perlu ditanggung sekiranya pilihan raya mengejut diadakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mah berkata demikian bagi mengulas laporan media yang memetik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy sebagai berkata DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua tuduhan rasuah yang difailkan terhadap Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP.
Pilihan pertama ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur respons rakyat negeri ini terhadap tuduhan yang dikenakan terhadap Lim dan pilihan kedua ialah menunggu pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan tidak lewat daripada Ogos 2018.
Bagaimanapun, tiada keputusan dibuat tentang perkara itu dan ia hanya dibincangkan pada mesyuarat DAP di Pulau Pinang baru-baru ini, kata Ramasamy.
Mah berkata yang menghadapi tuduhan di mahkamah ialah Lim, bukan kerajaan negeri dan oleh itu, rakyat Pulau Pinang tidak sepatutnya dilibatkan dalam isu undang-undang peribadi ini, manakala Lim pula perlu bercuti demi kebaikan Pulau Pinang.
Katanya, DAP tidak sepatutnya menganggap tuduhan yang dikenakan terhadap Lim sebagai hal ehwal negeri kerana itu tidak adil serta tidak menepati undang-undang dan sebaliknya, Lim perlu menjawab dan membela diri terhadap tuduhan berkenaan di mahkamah bagi menghormati kedaulatan undang-undang.
- Bernama

