AirAsia tempah 100 pesawat A321neo
AirAsia menandatangani tempahan dengan Airbus bagi pembelian 100 pesawat A321neo, menjadikannya tempahan pertama oleh syarikat penerbangan tambang rendah itu bagi model terbesar kumpulan A320 yang paling laris dijual.
Pengumuman yang dibuat di Pameran Udara Farnborough di England itu menyaksikan jumlah model A320 yang ditempah AirAsia meningkat kepada 575, mengesahkan kedudukannya sebagai pelanggan syarikat penerbangan terbesar bagi
produk satu lorong Airbus.
Pesawat A321neo dengan 240 tempat duduk itu akan membolehkan syarikat penerbangan tersebut meningkatkan kapasitinya di samping mendapat manfaat daripada kos operasi terendah dalam kategori satu lorong.
"A321neo akan beroperasi di laluan paling popular kami dan terutamanya di lapangan terbang dengan kekangan prasarana," Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Airbus.
Beliau berkata tempahan baru itu akan membolehkan AirAsia membawa kuantiti penumpang yang lebih ramai dengan slot yang sama, yang sekali gus menyediakan manfaat segera kepada lapangan terbang.
"Ini termasuk, antara lainnya, operasi lebih cekap, hasil tinggi daripada caj perkhidmatan penumpang dan lebih banyak pembelian runcit lapangan terbang," katanya.
Pesawat A321neo akan membantu AirAsia menampung peningkatan permintaan serta mengurangkan kos tempat duduk setiap kilometer dalam kumpulan itu, yang akan membawa kepada tambang udara lebih murah kepada pelanggan, kata Fernandes.
"Kami amat gembira menerima tambahan tempahan daripada AirAsia," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Fabrice Brégier.
"Ini merupakan satu lagi sokongan padu kepada kumpulan pesawat satu lorong terbesar kami, yang kini merupakan peneraju dalam kategori 200-lebih tempat duduk.
"Kami tidak sabar untuk melihat pesawat A321neo terbang bersama AirAsia dan menyumbang kepada kejayaan berterusan syarikat penerbangan itu sebagai satu daripada syarikat penerbangan tambang rendah utama dunia," katanya.
AirAsia nafi laporan dwi penyenaraian
Sementara itu AirAsia Bhd menyatakan dwi penyenaraian bukanlah pilihan untuk dipertimbangkan secara rasmi oleh syarikat penerbangan tambang rendah itu dan ia tidak merancang membentuk sebarang usaha sama di China.
AirAsia dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam menjelaskan tentang laporan berita dalam akhbar-akhbar utama bahawa ia menyasarkan dwi penyenaraian di Hong Kong.
"Dalam apa juga keadaan, langkah seperti itu tidak boleh diambil tanpa cadangan dipertimbangkan oleh lembaga atau tanpa menimbangkan terlebih dahulu pelbagai aspek kawal selia dan komersial berhubung perkara tersebut.
"Tidak ada satu pun yang diambil setakat ini," kata syarikat itu.
AirAsia juga menjelaskan tentang berita ia sedang menimbang menubuhkan usaha sama di China.
Ia berkata dari semasa ke semasa, syarikat penerbangan tambang rendah itu menerima cadangan untuk menubuhkan usaha sama penerbangan di pelbagai negara.
Bagaimanapun, ketika ini AirAsia tidak menimbang sebarang cadangan usaha sama baharu kerana ia sedang menumpukan usaha untuk melancarkan AirAsia Japan serta memantapkan operasi syarikat penerbangan usaha sama sedia adanya di Asean dan India, kata syarikat tersebut.
- Bernama
- Bernama

