Sudah sampai masanya bagi negara-negara Islam berdekatan seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei bersuara lebih lantang lagi tentang isu penderitaan Muslim Rohingya di Myanmar, kata pengerusi biro antarabangsa Parti Amanah Negara, Raja Bahrin Shah.

"Dengan menunjukan solidariti yang padu serta semangat persaudaraan Islam, mudah-mudahan ianya akan membawa kesan yang di harapkan untuk menyelesaikan kemelut yg sudah lama belarutan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sudah sampai masanya seorang pemimpin beragama Islam negara Asean menjadi ketua dan menerajui gerakan selamatkan umat Islam Rohingya.

Raja Bahrin berkata ini kerana isu penderitaan Muslim Rohingya di Myanmar tidak nampak penghujungnya.

Malahan, katanya, serangan ke atas komuniti iserta masjid Islam Rohingya makin banyak berlaku.

Malangnya, tegas Raja Bahrin, Presiden Myanmar, Aung San Suu Kyi berdiam diri atas apa yang berlaku kerana didakwanya untuk menjaga kepentingan politik.

Menurutnya, apabila ditanya oleh media antarabangsa baru baru ini tentang nasib orang Islam Rohingya, Suu Kyi tidak dapat menjawab dengan jelas pendiriannya.

Menurut Raja Bahrin, Malaysia dahulu pernah menjuarai isu-isu sebegini rupa dan di segani dunia serantau.

"Dalam masa yang sama Malaysia juga mestilah menunjuk contoh dan teladan yg baik terhadap kaum minoriti kita sendiri.

"Isu-isu perkauman tempatan hendaklah diselesaikan dengan tegas dan baik," kata Raja Bahrin.

Mudah-mudahan, tambahnya, nasib umat Islam yang dizalimi di rantau ini terbela dan Malaysia sekali lagi akan di segani oleh dunia dan negara rantau Asia.

"Masalah nasib Muslim Rohingya bukan masalah Myanmar sahaja, ianya masalah dunia umat Islam yang bersaudara yang memerlukan perhatian dan tindakan saudara sesama Islam serantau.

"Marilah kita bersama menyahut cabaran yang memerlukan semangat dan kepimpinan secara Islam yang boleh dicontohi," tambahnya.