Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan penangguhan perbicaraan N Surendran berhubung pertuduhan menghasut terhadapnya, sementara menunggu rayuannya untuk mengketepikan dakwaan itu di Mahkamah Rayuan.

Panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan yang dibuat oleh peguam Surendran, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Latheefa Koya.

Selain Tengku Maimun, hakim yang bersidang sama adalah Hakim Datuk Zamani A Rahim dan Datuk Zakaria Sam.

Ahli Parlimen Padang Serai itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2014 kerana kenyataannya bahawa pertuduhan liwat II ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah konspirasi politik yang membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika meninggalkan Mahkamah Persekutuan pada 8 Ogos 2014.

Pada 7 Jun tahun ini, Surendran memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu atas alasan bahawa ia mengganggu tugasnya sebagai seorang peguam.

Katanya, beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan menghasut apabila beliau meninggalkan mahkamah selepas mewakili Anwar di Mahkamah Persekutuan.

"Oleh kerana ia melibatkan sesuatu yang saya cakap dalam kapasiti sebagai seorang peguam, maka ini adalah campur tangan tugas peguam," kata Surendran.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Akta Hasutan sebagai perlembagaan, dan bahawa tuduhan hasutan yang dibawa ke atas Surendran masih sah.

Surendran memfailkan notis untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun.

Amnesty International menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Surendran.

[Baca berita penuh]