Rahman ingatkan DAP jangan guna gaya politik lama
DAP perlu diberitahu supaya meninggalkan jenama politiknya yang bersifat konfrantasi, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berikutan catatan Facebook oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.
Beliau berkata pemimpin muda DAP menggunakan gaya lama DAP berbentuk hasutan dan provokasi, sama ada video menyindir yang teruk atau ucapan Selamat Hari Raya yang menyakitkan hati.
Oleh itu, rakyat perlu menuntut supaya DAP lebih bertanggungjawab dan bijaksana dalam politik, katanya.
"Bolehkah pemimpin DAP menyatakan pandangan, tidak kira berapa kuat sekalipun, tanpa perlu ugutan seperti itu? Sudah tentu ya. Soalannya adalah, mengapa mereka tak lakukannya?
"DNA politik DAP sentiasa berkonfrontasi. Tembak dulu, tanya kemudian. Tak peduli apa akibatnya. Pergi jahanam dengan akibatnya.
"Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia menuntut DAP supaya lebih bertanggungjawab dan bijaksana dalam politik mereka. Marilah kita beritahu DAP bahawa ini adalah 2016, bukan 1966," kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter hari ini.
Tahun 1966 adalah tahun apabila DAP secara rasmi didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
"Menghentam keras dalam politik adalah perkara biasa dan dijangka. Tetapi (ia) tidak boleh mengorbankan keharmonian kaum dan agama yang kita miliki setakat ini," katanya.
Kenyataan Abdul Rahman susulan tindakan Exco Pemuda Umno Ibdillah Ishak dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafie membawa kira-kira 200 peserta himpunan ke ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, hingga menyebabkan kekecohan dengan pihak polis.

