Peniaga di Mara Digital Mall di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur bersedia membayar sewa pada bulan ini, selepas dikecualikan membayar sewa selama enam bulan pertama yang berakhir Jun ini.

Kebanyakan peniaga dan kakitangan memberitahu Malaysiakini bahawa bayaran sewa itu tidak akan membebankan perniagaan mereka.

Eksekutif jualan komputer riba, yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrul, 28 berkata beliau tidak fikir bayaran sewa itu akan menjejaskan perniagaannya.

Katanya, berbanding Plaza Low Yat yang terkenal, Mara Digital Mall menawarkan sewa lebih rendah dengan saiz kiosk yang lebih besar.

"Sewa di Low Yat sangat mahal, kos satu kiosk kecil RM14,000 sebulan.

"Di sini (Mara Digital Mall), kamu boleh sewa sewa tiga lot yang lebih besar hanya RM2,800 sebulan," kata Shahrul, yang telah menjual komputer riba di Low Yat sembilan tahun lalu sebelum datang ke Mara Digital Mall.

Shahrul kini menikmati pendapatan yang lebih baik di pusat membeli-belah baru itu.

Beliau menghargai langkah Mara Digital Mall mengetepikan sewa selama setengah tahun yang pertama dan ia melegakan beliau daripada masalah aliran tunai.

"Sambutan raya saya tahun ini lebih baik kerana saya mampu membawa keluarga bercuti," kata Shahrul, yang berasal dari Kuala Pilah.

Bersetuju dengan Shahrul, seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, walaupun terpaksa membayar sewa, beliau yakin masih mendapat keuntungan.

Ahmad, 25, yang memiliki sebuah kedai telefon bimbit berkata sewa di Mara Digital Mall adalah lebih rendah iaitu separuh daripada Plaza Low Yat dengan saiz lot kedai yang sama.

"Sewa di Mara Digital Mall di bawah RM10,000, manakala sewa di Low Yat adalah RM20,000," katanya.

Ahmad, yang sebelum ini menjual alatan telefon bimbit di Plaza Low Yat berkata sewa itu tidak akan menjejaskan perniagaannya.

"Perniagaan saya boleh cover (kos). Selepas saya bayar gaji dan sewa, saya masih boleh untung. Tak ada masalah," katanya.

[Baca berita penuh]