'Mahathir bentuk parti baru kerana jadi liabiliti pembangkang'
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menubuhkan sebuah parti baru kerana pembangkang menganggap dirinya sebagai liabiliti, kata seorang menteri Umno.
"Hakikat bahawa beliau perlu menubuhkan parti baru menunjukkan parti (pembangkang) lain tidak akan menerimanya kerana beliau adalah liabiliti," kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.
Pengikut setia Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan semalam mendedahkan bahawa terdapat rancangan untuk menubuhkan sebuah parti baru yang mungkin diterajui oleh bekas perdana menteri itu.
Khairuddin berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin pembangkang di Putrajaya esok.
Mengulas lanjut, Nazri berkata beliau menyambut baik langkah itu kerana ia cara yang sah untuk menentang kerajaan secara demokrasi.
"Dan Khairuddin kata, beliau akan menjemput semua yang tidak berpuas hati dengan Umno, jadi ada rumah baru untuk mereka."
Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Nazri juga berseloroh mengenai kemungkinan barisan kepimpinan parti itu.
"Mahathir akan menjadi presiden, bekas Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin Yassin akan menjadi timbalan.
"(Anak Mahathir) Mukhriz adalah Ketua Pemuda, (bekas menteri Umno) Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Wanita, dan Khairuddin akan menjadi budak bancuh teh."
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu yakin parti baru Dr Mahathir itu akan mencatatkan prestasi lebih teruk daripada bekas parti serpihan Umno Semangat 46.
Ini katanya adalah berdasarkan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil berkembar bulan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

