Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa Tabung Haji berisiko rugi
Diterbitkan:  Jul 13, 2016 9:21 PM
Dikemaskini: 1:28 PM

Tabung Haji (TH) melalui sebuah anak syarikatnya berdepan risiko kerugian berjumlah RM554 juta, dakwa Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Beliau mendakwa dua syarikat antarabangsa telah menfailkan petisyen berasingan untuk menuntut hutang mereka daripada TH Heavy Engineering Berhad (THEE).

Susulan itu beliau mendesak Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan terutama kepada pendeposit TH mengenai langkah-langkah untuk menyelamatkan lembaga itu daripada menanggung kerugian.

"Saya juga menyeru kepimpinan baru TH di bawah Datuk Johan Abdullah mengambil pendekatan berbeza dalam menangani pandangan timbang tara dari ahli Parlimen seperti saya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, perkara itu kini disahkan apabila bukan sahaja saham THHE diniagakan pada harga terendah, malah penganalisa pasaran juga telah memotong unjuran prestasi kewangannya dan menasihatkan pelabur menjual saham-saham THHE.

Dakwanya, firma saham Maybank Kim Eng dalam nota pelaburan bertarikh 8 Julai lalu memotong unjuran perolehan THHE bagi tempoh 2016 hingga 2018 sebanyak 16 peratus hingga 32 peratus.

Beliau juga mendakwa masalah kewangan dan aliran tunai terhad yang dihadapi THHE bermakna ia berhadapan risiko melanggar kontrak dan tidak dibayar jika gagal memenuhi syarat-syarat kontrak yang ditandatangani.

"Tidak perlu saya menghuraikan dengan lebih panjang kerana fakta-fakta telah jelas mengiyakan amaran dan analisa saya sebelum ini.

"Saya lebih berminat kepada tindakan segera yang perlu diambil untuk melindungi simpanan deposit jemaah haji di dalam TH agar tidak terus terdedah kepada risiko kerugian lebih besar," jelasnya.

Sementara itu, Rafizi menyeru supaya TH menarik balik laporan polis hingga menyebabkan beliau didakwa di mahkamah atas dakwaan memfitnah agensi berkenaan.

Lihat Komen
ADS