Selepas Pulau Pinang menyaksikan empat kuil dirosakkan dalam tempoh dua bulan lalu, dua lagi kuil, satu di Mahang, Kedah dan satu lagi di Selama, Perak juga dirosakkan.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star memetik penjaga kuil Sri Maha Muthumariamman di Mahang, berkata, beliau mendapati patung setinggi 0.9 meter dipindahkan dari tempat asalnya dan dihancurkan.

Sementara itu, penjaga kuil Suba Sri Sakthi Kanagavalli di estet Tong Hurst di Selama, mendapati pintu kayu di dewan utama kuil berkenaan terbuka dan dua patung dipecahkan.

Kedua-dua kejadian berlaku pada Selasa lalu dan barang kemas yang disimpan di bawah patung-patung di kedua-dua kuil juga dilaporkan hilang.

Jarak di antara kedua-dua kuil itu hanya 4 km kerana pekan Selama terletak di sempadan Perak dan Kedah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Barudin Wariso berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan kecurian.

Beliau juga mengesahkan bahawa dua suspek telah ditahan untuk membantu siasatan kedua-dua kes berkenaan.

Kes terakhir vandalisme berlaku Ahad lalu di Kuil Sri Muneeswarar di Pulau Pinang.

Kes di Gelugor itu adalah susulan tiga kejadian lain, dua di Penanti dan satu lagi di Seberang Perai, bulan lalu.

Minggu lalu, sebuah kuil Hindu dirosakkan di Sungai Nibong Kecil.

Pada April lalu, patung di Kuil Sri Muneswarar Amman juga dimusnahkan di Ipoh, Perak.

[Baca berita penuh]