Tian Chua kekal bebas tuduhan hasutan pencerobohan Lahad Datu
Ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang kekal bebas daripada pertuduhan menghasut berhubung kenyataan yang dibuatnya berhubung pencerobohan Lahad Datu.
Ini berikutan keputusan pihak pendakwaan yang menarik balik rayuan terhadap pembebasan itu di Mahkamah Rayuan hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya K Mangai memaklumkan panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimum Tuan Mat berhubung keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik rayuan mereka.
Sehubungan itu, panel hakim membatalkan rayuan berkenaanu. Ini sepatutnya menjadi rayuan terakhir oleh pihak pendakwaan, kerana kes tersebut bermula di Mahkamah Sesyen.
Hakim lain yang bersidang sama hari ini adalah Datuk Zamani A Rahim dan Datuk Zabariah Yusof.
Chua, yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, diwakili peguam Eric Paulsen.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur empat bulan lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebaskan Chua daripada tuduhan menghasut, atas alasan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Chua mengeluarkan kata-kata yang didakwa berunsur hasutan.
Ahli Parlimen Batu itu didakwa pada tahun 2013 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan membuat kenyataan bahawa pencerobohan militan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang kerajaan pimpinan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Hakim Norsharidah Awang pada tahun 2014 tidak memerintahkan Chua membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

