Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru yang bertanggungjawab terhadap undang-undang berkuat kuasa 28 Jun lalu.
Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan hari ini oleh Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
"Pihak kami berbesar hati menerima kehadiran Azalina dan percaya dengan kepimpinan beliau, BHEUU akan terus memainkan peranan penting dalam hal ehwal perundangan negara.
"Sebagai menteri yang berkelulusan undang-undang dan juga selaku pengamal undang-undang lebih 25 tahun, kami yakin Azalina akan memberi sentuhan dan idea baru dalam mencapai misi, visi dan objektif BHEUU," kata kenyataan itu.
Penyandang jawatan berkenaan sebelum ini, Nancy Shukri akan menyelia Agensi Inovasi Malaysia, Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (Might) dan Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia.
Nancy juga akan bertanggungjawab ke atas agensi di bawah beliau sebelum ini iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebelum ini semasa rombakan kabinet pada 27 Jun lalu memaklumkan bahawa akan berlaku perubahaan portfolio untuk menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Ketika dihubungi, pembantu Azalina memberitahu Malaysiakini bahawa menteri itu masih bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen.
Mengikuti rombakan bulan lalu, terdapat sembilan menteri di Jabatan Perdana Menteri, termasuk Azalina dan Nancy.
Menteri lain adalah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Wee Ka Siong, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Paul Low, Datuk Joseph Entulu Anak Belaun, Tan Sri Joseph Kurup, dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Azalina adalah seorang peguam, dan dalam kapasitinya sebagai menteri bertanggungjawap menjaga Parlimen, beliau sering-kali menggunakan hujah-hujah undang-undang ketika menjalankan tugasnya.
Ini termasuk menggunakan pembelaan subjudis apabila menolak soalan pembangkang mengenai 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Azalina menjadi menteri buat kali ketiga semasa rombakan kabinet kedua Najib tahun lalu.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri pelancongan dari 2008 hingga 2009, dan sebagai menteri belia dan sukan pada 2004-2008 semasa Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
