Jurucakap gerakan belia Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu DAP mengambil tindakan terhadap Hew Kuan Yau yang digelar 'Superman' di kalangan ahli-ahli DAP di atas keceluparannya  dalam isu tuntutan Beijing ke Laut China Selatan.

Sambil menggelarkan Hew sebagai Superman paling bodoh, Syed Saddiq berkata, kenyataannya itu bersifat mengalah, tidak berasas dan tidak patriotik.

"DAP perlu mengambil tindakan segera terhadap 'Superman' super bodoh ini.

"Kenyataan tidak mahu mengalah, tidak berasas dan tidak patriotik oleh Hew menjejaskan hak kedaulatan Malaysia ke atas pulau-pulau yang dipertikaian," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Syed Saddiq, pada masa sama, kenyataan Hew meremehkan segala usaha dan kerja gigih oleh tentera Malaysia yang menjaga pantai dan sempadan negara demi kedaulatan Malaysia.

"Kenyataan Hew juga melemahkan usaha-usaha yang dibuat para diplomat, peguam dan pegawai yang bekerja di kementerian hal ehwal luar negara untuk mendapatkan penyelesaian terbaik melindungi kedaulatan negara.

"Kenyataan beliau memaparkan kejahilan sendiri, terutama selepas kurang daripada 14 jam yang lalu, Mahkamah Tetap Timbang Tara di Hague yang tidak memihak kepada China dalam keputusan 497 muka surat menolak hak-hak bersejarah China kepada sumber-sumber di dalam kawasan laut termasuk yang meliputi petak besar Laut China Selatan," ujar Syed Saddiq lagi.

Menurut 'Superman', tambah Syed Saddiq, China memiliki Laut China Selatan dan berbilion sumber asli serta kelebihan keselamatan di kawasan tersebut.

"Sebagai seorang rakyat Malaysia yang amat prihatin terhadap kedaulatan negara, saya amat marah kerana ia kenyataan yang tidak berasas dan tidak patriotik yang dilafazkan oleh orang yang sama mahu 'skru orang Melayu' dua bulan yang lalu," katanya.

Catatan Hew di akaun Facebook miliknya itu telah mendapat kritikan daripada ramai pengguna media sosial itu dengan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menyifatkan kenyataan Hew itu sebagai satu lagi contoh DAP tidak boleh dipercayai dengan kuasa.

[Baca berita penuh]